Semenyih perlu naik taraf jalan utama, tambah liputan bas – Nushi
SEMENYIH – Isu mobiliti di kawasan ini terus mendapat perhatian selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Nushi Mahfodz, membangkitkan persoalan mengenai “missing link” sambungan MRT dalam Sidang Dewan Negeri baru-baru ini.
Nushi berkata, koridor Bandar Seri Putra–Jenderam–Putrajaya yang berpotensi menghubungkan MRT Kajang Line dengan MRT Putrajaya Line, sekali gus membuka laluan kepada kesalinghubungan pengangkutan awam yang lebih menyeluruh di selatan Selangor.
“Susulan itu sesi libat urus teknikal diadakan bersama EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han, bagi menilai kedudukan Semenyih dalam perancangan tersebut serta tindakan segera yang boleh dilaksanakan bagi menangani masalah perjalanan harian penduduk.
“Hasil perbincangan mendapati jalan utama Beranang–Semenyih–Kajang merupakan punca utama kesesakan apabila keadaannya yang sempit dan padat tidak lagi mampu menampung jumlah kenderaan yang semakin meningkat, seiring pertumbuhan pesat penduduk di kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, liputan perkhidmatan bas Rapid KL turut terhad kerana laluan sedia ada hanya melalui jalan utama tanpa memasuki kawasan perumahan besar seperti Bandar Rinching, EcoHill, Eco Majestic dan Bandar Tasik Kesuma, menyebabkan penduduk di kawasan tersebut tidak mendapat capaian pengangkutan awam yang mencukupi.
Dalam masa sama, bas Smart Selangor masih belum dapat memasuki Semenyih sepenuhnya berikutan kekangan kos operasi dan kapasiti pihak berkuasa tempatan (PBT), sekali gus mewujudkan jurang liputan dalam sistem mobiliti kawasan itu.
Nusyi berkata, bagi penyelesaian jangka pendek, kerajaan negeri sedang menilai beberapa langkah termasuk pembinaan Dedicated Bus Lane, peningkatan kekerapan bas Rapid KL pada waktu puncak, penggunaan sistem Demand Responsive Transit (DRT) sebagai penghubung kawasan perumahan, serta keperluan menaik taraf jalan Beranang–Semenyih–Kajang bagi melancarkan aliran trafik.
“Kerajaan juga membuka ruang untuk kajian jangka panjang seperti sambungan MRT melalui jajaran Bandar Seri Putra–Jenderam–Putrajaya serta potensi pembinaan Putrajaya–Bangi Expressway (PBE) pada masa depan.
“Keutamaan kita ialah mengoptimumkan rangkaian bas dan menaik taraf jalan utama terlebih dahulu sebelum melangkah kepada projek jangka panjang seperti MRT,” katanya lagi.
Beliau percaya langkah praktikal itu mampu memberikan impak segera kepada penduduk Semenyih dan kawasan di bawah pentadbiran MPKj, sekali gus meningkatkan kualiti perjalanan harian masyarakat setempat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








