Lelaki parah dibaham buaya ketika jaring ikan
TELUK INTAN – Seorang lelaki cedera parah akibat dibaham buaya dalam kejadian di kawasan kebun di Kampung Sungai Buaya, di sini, Sabtu lalu.
Difahamkan, mangsa mengalami kecederaan dalaman serius pada bahagian lutut kiri.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak, Yusoff Shariff berkata, laporan kejadian diterima pihaknya pukul 6.30 petang Sabtu lalu dengan mangsa yang cedera kemudiannya dirawat di Hospital Teluk Intan.
Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemunculan buaya yang menyerang lelaki itu datang daripada limpahan dari tali air berdekatan susulan banjir yang melanda kawasan sekitar.

“Memang ada kes itu, kita terima laporan jam 6.30 petang Sabtu lalu.
“Kemungkinan buaya itu terlepas di kawasan itu disebabkan banjir. Ya ia kemunculan pertama buaya di kawasan berhampiran situ,” katanya memetik BH Online.
Katanya, setakat ini tindakan yang diambil pihak Perhilitan adalah dengan melakukan pemantauan di samping memasang papan tanda amaran.
Sejak semalam, tular di aplikasi WhatsApp mengenai seorang lelaki mengalami kecederaan serius susulan diserang buaya sewaktu sedang menjaring ikan di kawasan kebunnya di Kampung Sungai Buaya.
Berdasarkan hantaran tular itu, buaya dikatakan masuk melalui kawasan pintu air yang terdapat sekitar kawasan kampung yang mana ia didapati bersambung dengan Sungai Perak.
Pada pukul 8 malam Sabtu lalu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan terdapat 11 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka susulan banjir yang melanda daerah Hilir Perak yang kawasan Teluk Intan berada di dalamnya, membabitkan 1,950 mangsa daripada 587 keluarga.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








