Seruan batal MA63 disifatkan tindakan jahil sejarah, asas pembentukan negara
KUCHING – Seruan pihak tertentu yang berniat membatalkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) disifatkan sebagai tindakan yang jahil terhadap sejarah dan asas pembentukan negara.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan MA63), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, pandangan itu tidak bernilai dari segi undang-undang dan jelas menunjukkan ketidakfahaman terhadap peranan MA63 dalam pembentukan Persekutuan Malaysia.
“MA63 merupakan dokumen perundangan yang menjadi asas kepada penubuhan Malaysia sejak 1963, dan kedudukannya kini semakin kukuh selepas pindaan kepada Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan yang memasukkan MA63 serta instrumen berkaitan dalam tafsiran rasmi Persekutuan.
“MA63 juga ialah instrumen asas yang memberikan kesan undang-undang kepada pembentukan Persekutuan Malaysia. Dalam erti kata lain, perjanjian itu melahirkan persekutuan Malaysia.
“Tanpa MA63, Persekutuan ini sendiri tidak mempunyai asas perlembagaan untuk wujud. Sebarang cadangan untuk membatalkan atau menghapuskan MA63 adalah tidak sah dari segi perlembagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Chieng Jin Ek (Bukit Assek) mengenai status terkini Rundingan MA63 untuk Sarawak pada sidang DUN Sarawak hari ini.
Tegasnya, sebarang kenyataan yang mempertikaikan kewujudan MA63 atau menggesa pemansuhannya berpotensi menimbulkan kekeliruan dan perpecahan dalam kalangan rakyat dan ia termasuk cubaan mempolitikkan isu yang menyentuh asas kestabilan negara.
“Sarawak tidak akan berkompromi dalam mempertahankan hak-hak negeri yang termaktub dalam MA63, dan komited memastikan pelaksanaan penuh perjanjian itu diteruskan demi kestabilan serta kekuatan Persekutuan Malaysia,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








