BERITA SEMASA

RUU Tadbir Urus AI masuki fasa akhir, fokus bendung risiko dan penyalahgunaan – Gobind

KUALA LUMPUR – Kementerian Digital kini berada di peringkat akhir merangka Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus AI, langkah komprehensif bagi menangani risiko AI yang semakin berkembang dan memastikan penggunaannya kekal selamat serta bertanggungjawab.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) sedang membangunkan kerangka kawal selia AI yang merangkumi aspek risiko, kemudaratan, pelaporan insiden serta prinsip etika, sekali gus menjadi asas kepada pembentukan RUU berkenaan.

“Sehubungan itu, beberapa undang-undang sedia ada turut diperkukuh termasuk pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) Pindaan 2024 serta pembangunan garis panduan khusus berkaitan Pembuatan Keputusan Automatik (ADM) dan Pemprofilan.

“Pengukuhan undang-undang sedia ada juga dibuat dengan melindungi infrastruktur digital dan menangani penyebaran kandungan berbahaya melalui Akta Keselamatan Siber 2024 dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 serta mengkaji semula Akta Keterangan 1950 dan Akta Kontrak 1950.

“Ia bagi meneliti pindaan yang sesuai dengan perkembangan landskap teknologi AI termasuk implikasinya terhadap pembentukan dan pelaksanaan kontrak serta integriti keterangan,” katanya ketika menjawab soalan Roy Angau Gingkoi (GRS-Lubok Antu) di Dewan Rakyat hari ini.

Roy meminta penjelasan berhubung dasar serta etika penggunaan AI, khususnya aplikasi chatbot dan penjanaan video, bagi memastikan teknologi itu tidak disalahguna atau menjejaskan keselamatan pengguna.

Mengulas lanjut, Gobind berkata Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) turut merangka RUU Jenayah Siber bagi menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997, termasuk merangkumi isu ‘deepfake’ yang semakin merisaukan.

“Dari aspek teknikal dan operasi, CyberSecurity Malaysia (CSM) dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sedang membangunkan teknologi pengesanan untuk mengesahkan ketulenan gambar dan video bagi membantu siasatan berkaitan jenayah siber.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pula bekerjasama dengan platform media sosial untuk mengesan dan menyekat penyebaran kandungan deepfake yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja.

“Dengan pendekatan menyeluruh, Kementerian Digital berhasrat membina ekosistem AI yang inovatif namun selamat, di mana potensi teknologi dapat dimanfaatkan sepenuhnya sementara risiko penyalahgunaan dikawal dengan rapi, sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa,” katanya.

Menurut Gobind, usaha memperkukuh tadbir urus AI turut diperkemaskan melalui beberapa dokumen rujukan penting yang telah diperkenalkan.

“Antaranya Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika AI (AIGE) yang dilancarkan pada September 2024, yang menggariskan tujuh prinsip asas termasuk keadilan, keselamatan, keterangkuman, ketelusan dan akauntabiliti sebagai panduan kepada semua pihak yang membangunkan atau menggunakan teknologi AI.

“Selain itu, Garis Panduan Pengadaptasian AI Sektor Awam yang dilancarkan pada Februari lalu turut menekankan pendekatan ‘Human-in-the-Loop’ bagi memastikan keputusan penting yang membabitkan AI tetap mempunyai kawalan manusia dan tidak diserahkan sepenuhnya kepada sistem automasi,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button