POLITIK

Dakwaan saya akan dipecat mahu rosakkan sokongan akar umbi

SEREMBAN – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan khabar angin beliau akan dilucutkan daripada jawatan Menteri Pertahanan sebagai fitnah jahat yang mahu memecah belahkan sokongan di peringkat akar umbi parti.

Beliau berkata, dakwaan tidak berasas itu direka untuk menjejaskan kepercayaan ahli UMNO kepada beliau dengan tuduhan tidak sehaluan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tidak turun berkempen bersama.

“Berhati-hatilah orang UMNO sebab ini adalah cara mereka nak pecah belahkan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan.

“Saya tidak turun berkempen beberapa hari lalu sebab saya demam empat hari, sampai 40 darjah suhu badan kemudian ada yang tuduh saya macam-macam,” katanya pada Program Malam Perpaduan Paroi malam tadi.

Tular di dalam media sosial sebelum ini, Mohamad dikatakan akan digugurkan daripada jawatan menteri kabinet ekoran mengadakan pertemuan dengan wakil Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau itu juga menyeru orang ramai supaya tidak
tidak mudah ‘termakan’ spekulasi Islam dan Melayu akan terancam di bawah Kerajaan Perpaduan.

“Itu sebab macam-macam kata, Islam terancam, Melayu terancam, DAP berapa orang sahaja dalam Kabinet, empat orang sahaja.

“Mahu kata Islam terancam, daripada 29 orang menteri, 19 orang ialah Melayu, Islam, jadi ini semua perkara-perkara yang dibuat yang kadang-kadang boleh menyebabkan orang kata perasaan tidak puas hati dan memecah belahkan rakyat.

“Paling bahaya apabila kita menggunakan isu perkauman dan agama di dalam negara yang berbilang kaum berbilang agama di Malaysia, saya harap orang ramai tidak percaya dengan perkara seperti ini, tidak akan terancam selagi Perlembagaan kita masih utuh dan mahu pindaan Perlembagaan mesti melalui Kabinet dan saya yakin Kabinet tidak akan meluluskannya,” tambahnya.

Mohamad dalam pada itu turut menafikan beliau terlibat dan terdapat konflik kepentingan dalam skandal kapal tempur pesisir (LCS).

Katanya, dakwaan itu tidak berasas memandangkan keputusan perolehan kapal berkenaan dibuat sebelum beliau menjawat sebagai Menteri Pertahanan.

Sebelum ini, tular satu rakaman di Youtube milik Raja Petra Raja Kamarudin yang mendakwa Mohamad adalah antara individu terlibat dengan skandal berkenaan.

Pembekalan enam LCS oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) menjadi kontroversi selepas pendedahan bahawa projek berkenaan sepatutnya dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun mulai 3 Oktober 2013 hingga 2 Oktober 2023 namun hanya siap 53.29 peratus setakat 31 Mei 2019.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button