Guru maahad tahfiz, sekolah pondok diberi latihan penggunaan AI
KUALA LUMPUR – Guru-guru maahad tahfiz dan institusi pondok sudah didedahkan dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi inisiatif latihan yang digerakkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, latihan itu sudah dimulakan di Wilayah Persekutuan dan Selangor.
Selain itu, katanya, jabatan itu juga membangunkan e-rancangan pengajaran harian ataupun e-RPH.
“Sebenarnya sudah banyak latihan-latihan yang kita laksanakan. Malah, inisiatif-inisiatif juga sudah kita gerakkan.
“Sebagai contoh, kita ada sistem SMART Murabbi iaitu satu sistem platform e-pembelajaran yang sangat-sangat sistematik dan terbaik,” katanya ketika Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Kamal Ashaari (PN-Kuala Kurau) sama ada kerajaan akan memperkenalkan status Standard Latihan Nasional khusus persijilan bagi guru-guru tahfiz terutamanya guru yang sekolahnya berdaftar di bawah JAKIM dan sebagainya.
Kamal kemudian turut mengajukan soalan berkenaan langkah kerajaan bagi menyelesaikan isu status kontrak dalam kalangan guru KAFA, termasuk usaha meminda syarat jam bekerja atau mewujudkan skim perkhidmatan khusus yang membolehkan mereka diserap ke jawatan tetap.
Bagi menjawab soalan tersebut, Zulkifli menjelaskan, pihaknya sedang mengkaji untuk naik taraf kontrak perkhidmatan penyelia KAFA daripada Gred S1 kepada Gred S5.
“Kita sudah mulakan iaitu program Rintis KAFA Perdana. Kontrak Perkhidmatan Skim Perjawatan Guru KAFA S1 yang ini juga kita sedang jalankan.
“Jadi doakan supaya projek ini akan ataupun program rintis ini akan berjaya dan kita boleh melihat perkara ini di masa depan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















