BERITA SEMASAPMX

Generasi muda perlu bebas daripada pemikiran kolot – PM

PUTRAJAYA – Kemajuan ilmu dan pendidikan yang pesat di negara ini tidak akan membawa makna sekiranya masih wujud segelintir masyarakat yang terperangkap dalam pemikiran kolot serta menghina sesama insan atas dasar warna kulit, kekayaan atau budaya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun universiti semakin banyak, jumlah profesor terus bertambah dan perpustakaan dipenuhi buku, namun ada yang masih gagal membebaskan diri daripada belenggu cara berfikir lama yang memecahbelahkan masyarakat.

“Para pewaris negara tidak boleh hanyut dalam pemikiran sempit ini. Kita mesti melahirkan generasi yang merdeka dalam fikiran, matang dalam pertimbangan, dan berani mengangkat idea yang menyelamatkan bangsa,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Baca juga : Festival Idea Putrajaya 2025 buka lebih 2,000 peluang pekerjaan gaji premium

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menyampaikan ucapan penutup pada Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2025 yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.

Festival yang bertemakan MADANI: Melakar Masa Depan, Merealisasikan Idea itu meliputi agenda merakyatkan ilmu dan pendidikan tinggi, serta mempromosikan Malaysia sebagai pusat wacana intelektual dan inovasi global.

Dalam kenyataan sama, Anwar turut menegaskan setiap rakyat memikul tanggungjawab besar untuk membangunkan gagasan yang menjunjung keadilan dan kemanusiaan demi membina Malaysia yang hebat serta bermaruah.

Selain itu, beliau turut mengingatkan agar masyarakat tidak sesekali melupakan akar dan jati diri bangsa walau setinggi mana kejayaan dicapai.

“Banggalah dengan budaya, asal-usul dan keluarga sendiri, kerana di situlah terletaknya kekuatan sebenar bangsa,” ujar beliau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button