Anak Perdana Menteri Timor-Leste jadi tumpuan netizen
KUALA LUMPUR – Nama Kay Olok Gusmao, anak kepada Perdana Menteri Timor-Leste, Xanana Gusmao kini menjadi sebutan ramai selepas wajah tampan dan keperibadiannya yang mesra rakyat tular di media sosial.
Pemuda berkarisma itu mula mencuri perhatian apabila beberapa foto dan video mengenainya dikongsi di akaun rasmi media sosial @Timor-Leste.
Ia memaparkan dirinya berinteraksi secara santai dengan masyarakat tempatan serta menyertai pelbagai program kemasyarakatan.

Ramai netizen termasuk dari Malaysia mengakui terpikat dengan penampilan dan personaliti anak pemimpin berpengaruh itu, malah ada yang berseloroh menyifatkan beliau sebagai ‘jejaka rebutan baharu Asia Tenggara’.
“Era putera Sultan Brunei dah tamat, sekarang anak Perdana Menteri Timor-Leste pula,” tulis seorang pengguna, @Missy.Messy di ruang komen.
Kay Olok turut dilihat mewarisi gaya kepimpinan bapanya yang terkenal dengan sifat merendah diri, dekat dengan rakyat dan berjiwa patriotik.
Malah, ada yang meramalkan beliau bakal mengikuti jejak langkah Xanana dalam arena politik dan kepimpinan negara.
Untuk rekod, Timor-Leste atau nama rasminya Republik Demokratik Timor-Leste ialah sebuah negara kecil di Asia Tenggara yang terletak di bahagian timur Pulau Timor, bersempadan dengan Indonesia.
Negara itu mencapai kemerdekaan pada 20 Mei 2002 selepas lebih dua dekad berjuang menuntut kebebasan.
Xanana Gusmao, 78, merupakan tokoh utama perjuangan kemerdekaan Timor-Leste dan kini kembali mengetuai pentadbiran negara itu selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada tahun 2023.
Dengan latar belakang keluarga pemimpin berpengaruh dan personaliti yang menawan, tidak hairanlah Kay Olok kini menjadi wajah baharu yang mencuri perhatian dunia maya sekali gus melambangkan generasi muda Timor-Leste yang berpotensi menggalas masa depan negara itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















