Politik

Sokongan terbaik di 3 negeri, Rafizi tolak kejatuhan Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR – Sokongan terhadap gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang berada pada tahap terbaik ketika ini memberi mesej yang kuat bahawa dakwaan Perikatan Nasional mengenai kejatuhan Kerajaan Perpaduan adalah karut.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, sokongan terutama di tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor membuktikan dakwaan PN hanya propaganda untuk menarik perhatian pengundi supaya berpihak kepada parti itu.

Katanya, berdasarkan maklumat daripada pelbagai sumber serta laporan dari lapangan yang diterimanya, dakwaan yang mengatakan kerajaan semasa akan tumbang selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagaimana dimomokkan oleh PN tidak berasas.

“Saya berani katakan kejatuhan Kerajaan Perpaduan selepas PRN seperti yang digula-gulakan pimpinan PN kepada penyokong mereka tidak akan berlaku kerana laporan yang kita terima adalah sebaliknya,” katanya ketika berkempen pada Jelajah Perpaduan sempena PRN Selangor di Sungai Kandis, malam tadi.

Pemimpin PN dalam ceramah mereka sepanjang kempen PRN memberi gambaran bahawa kerajaan PH-BN akan tumbang sekiranya gabungan PAS dan Bersatu itu berjaya merampas dua negeri di bawah penguasaan PH iaitu Selangor dan Negeri Sembilan pada PRN kali ini.

Rafizi pada masa sama membayangkan kerjasama PAS dan Bersatu dalam PN tidak akan bertahan.

Hal demikian tegasnya dilihat berdasarkan pengalaman PKR yang pernah bekerjasama dengan kedua-dua parti berkenaan sebelum ini.

Show More

Related Articles

Back to top button