Tribunal Anti-Buli fokus kepada pemulihan pelaku, mangsa
JITRA – Tribunal Anti-Buli di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Buli yang sedang digubal akan memberi tumpuan kepada pemulihan bagi semua pihak yang terlibat.
Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zamri Misman berkata, pendekatan tribunal tersebut bukan berbentuk hukuman, tetapi sebaliknya menekankan pemulihan bagi mangsa serta pelaku.
“Fokusnya bukan hukuman, tetapi kepada pemulihan, dan ia tidak terhad kepada mangsa, tetapi turut melibatkan pelaku,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi dialog Tribunal Anti-Buli peringkat Kedah dan Perlis di Institut Aminuddin Baki, di sini hari ini.
Katanya, sesi libat urus hari ini merupakan sesi ke-12 dan terakhir sebelum cadangan serta dapatan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan.
“Kami telah berinteraksi dengan lebih 3,000 orang melalui sesi dialog ini, dan sambutannya amat menggalakkan.
“Maklum balas yang diberikan sangat bernilai,” katanya.
Tambahnya, skop RUU yang sedang digubal itu tidak akan terhad kepada sekolah, tetapi akan turut meliputi kes buli di luar institusi pendidikan.
“Sebagai contoh, jika insiden buli berlaku di kawasan perumahan, mangsa boleh mengemukakan aduan terus kepada Tribunal Anti-Buli sebaik ia ditubuhkan di bawah akta ini,” katanya lagi.
Mengenai pelaporan aduan, Zamri berkata, Pesuruhjaya Kanak-Kanak di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mewujudkan platform aduan mesra kanak-kanak bagi memudahkan golongan itu membuat laporan kes buli.
“Bagi pejabatnya pula, cadangan semasa adalah untuk menempatkan Tribunal Anti-Buli di bawah Jabatan Perdana Menteri… namun perkara ini belum dimuktamadkan,” tambahnya.
RUU Anti-Buli tersebut dijangka dibentangkan di Parlimen pada Disember ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







