POLITIK

PRN Sabah: BN, PH muktamadkan pembahagian kerusi

BAGAN DATUK – Pembahagian kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 Sabah di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sudah dimuktamadkan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun berkata, beliau difahamkan bahawa rundingan kerusi antara PH dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pula berada di peringkat akhir untuk dimuktamadkan, lapor BERNAMA.

“Saya harap pada 15 Nov nanti kita akan tahu jumlah sebenar kerusi-kerusi yang akan ditandingi setiap parti gabungan,” katanya pada sidang media selepas hadir pada Majlis Santunan Kasih Deepavali Bagan Datuk 2025, hari ini.

Dalam majlis itu, Ahmad Zahid menyampaikan sumbangan Deepavali berupa 2,000 kotak makanan kepada keluarga B40 serta baucar RM100 kepada 703 pelajar SJKT di Parlimen Bagan Datuk.

Mengenai calon yang bakal diketengahkan dalam PRN Sabah, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, BN akan mengetengahkan calon boleh menang yang terdiri daripada 80 peratus muka baharu, termasuk daripada sayap Wanita, Pemuda dan Puteri.

Kesemua calon diketengahkan BN kali ini, katanya, adalah 100 peratus anak tempatan.

“Ini untuk memberi satu ‘signal’ bahawa BN Sabah sedia menghamparkan perbedaan pada kali ini untuk kita memberikan harapan baharu kepada pengundi-pengundi di Sabah,” tambahnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN17, dengan tarikh penamaan calon pada 15 Nov dan tarikh pengundian awal pada 25 Nov.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button