Hampir 1,000 warga KPKM meriahkan Agro Family Fun Run 2025 di Taman Botani Negara
SHAH ALAM – Suasana meriah mewarnai Program Agro Family Fun Run 2025 anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersempena Hari Sukan Negara (HSN) dan Hari Keluarga Peringkat KPKM yang berlangsung di Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) hari ini.
Lebih 1,000 warga KPKM bersama ahli keluarga masing-masing hadir memeriahkan acara tahunan itu yang bertujuan memupuk semangat kesukanan serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kementerian.
“Program dimulakan dengan sesi senaman memanaskan badan sebelum peserta dilepaskan oleh Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak bagi memulakan larian santai (fun run),” menurut kenyataan KPKM dalam media sosial hari ini.

Selesai acara larian, pelbagai aktiviti sukan rakyat dan sukan bendang turut diadakan termasuk boling kelapa, tarik tali, lumba tiga kaki, gagau ikan, perah air dalam botol, lari dalam sarung, tiup gula-gula dalam tepung dan lompat kangaroo yang menceriakan suasana kekeluargaan.
Sebagai simbolik pelancaran Kejohanan Sukan MADANI Kelab Tani 2025, Isham turut menyerahkan bendera rumah sukan kepada wakil lima rumah iaitu jingga, kuning, merah, biru dan hijau, diiringi nyanyian lagu tema masing-masing.
Kejohanan tersebut dijadual berlangsung sepanjang Oktober hingga November tahun ini.
Program kemudian diteruskan dengan penyampaian hadiah dan cabutan bertuah, sekali gus menutup acara dengan penuh keceriaan.
Penganjuran program seumpama ini diharap dapat memperkukuh semangat perpaduan serta mengeratkan hubungan silaturahim antara warga KPKM, selain membudayakan amalan hidup sihat dan aktif selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








