BERITA SEMASADALAM NEGERI

KPM tekankan isu keselamatan, pengetua diarah pantau sekolah setiap pagi

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak di bawah kelolaanya yang cuai dalam memastikan keselamatan murid di sekolah sentiasa terjamin.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, semua pengetua dan pemimpin sekolah diarah memberi perhatian serius terhadap aspek keselamatan dengan melakukan pemantauan harian di kawasan sekolah masing-masing.

Katanya, arahan itu dikeluarkan pagi tadi sebagai langkah segera memastikan pelaksanaan pengurusan melalui turun padang atau Management by Walking Around (MBWA) bagi membolehkan tindakan pantas diambil sekiranya terdapat kelemahan.

“Saya sudah arahkan semua peringkat kepimpinan pendidikan untuk melaksanakan MBWA, di mana pengetua perlu menilai keadaan sekolah melalui tinjauan pagi ke setiap kelas bagi melihat sendiri suasana pembelajaran.

“Melalui pendekatan ini, pengetua dapat mengenal pasti serta menganalisis tindakan yang perlu diambil segera,” katanya pada sidang media khas berkaitan kes salah laku seksual di sebuah sekolah di Melaka, di sini, hari ini.

Baca juga : Suspek kes rogol di Melaka dibuang sekolah

Beliau menegaskan, walaupun arahan itu dibuat dalam tempoh singkat sebelum takwim persekolahan tamat, ia perlu dilaksanakan segera bagi mengelak sebarang pengabaian keselamatan.

“Saya mahu semua pihak beri tumpuan terhadap isu keselamatan murid sepanjang Oktober hingga Disember ini. Saya tidak akan berkompromi jika ada kecuaian atau pengabaian prosedur,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Azam memaklumkan, KPM akan mengeluarkan garis panduan keselamatan baharu melibatkan asrama, bilik darjah dan kantin di seluruh institusi pendidikan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Katanya, garis panduan tersebut sedang dimuktamadkan selepas audit keselamatan dilaksanakan di lebih 1,000 sekolah dan asrama di seluruh negara.

“Kita akan keluarkan sebaik sahaja Jawatankuasa Khas Keselamatan Sekolah (JKKS) menyiapkan laporan mereka, dijangka pada Disember ini.

“Insya-Allah, Menteri Pendidikan akan umumkan garis panduan yang ditambah baik dan disesuaikan dengan keperluan semasa,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button