Belanjawan 2026 perkukuh tiga tonggak utama Ekonomi MADANI
KUALA LUMPUR – Belanjawan 2026 yang dijadual dibentang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim petang ini akan memperkukuh tiga tonggak utama Ekonomi MADANI iaitu menaikkan siling pertumbuhan negara, meningkatkan lantai taraf hidup rakyat serta memantapkan tatakelola dan reformasi sektor awam.
Menurut kenyataan Prabelanjawan 2026 yang diterbitkan melalui laman khas Kementerian Kewangan, tiga teras itu menjadi asas kepada hala tuju pembangunan negara bagi tempoh lima tahun akan datang, selaras dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Pembentangan keempat di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI itu akan disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen tempatan dan platform media sosial, termasuk BERNAMA TV yang menyiarkan Program Khas Analisis Prapembentangan Belanjawan 2026 bermula jam 3 petang.
Menurut kenyataan itu, belanjawan kali ini dibina di atas momentum kukuh hasil dasar MADANI sebelum ini dengan tumpuan kepada penyampaian agenda ekonomi jangka panjang negara.
“Pada masa sama, ia turut memberi perhatian kepada cabaran jangka pendek bagi mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi dan daya tahan negara dalam menghadapi ketidaktentuan global serta persaingan serantau yang semakin sengit,” katanya.
Belanjawan 2026 juga mensasarkan pengukuhan bantuan bersasar berteraskan keberhasilan ke arah meningkatkan kesejahteraan rakyat dan kualiti hidup masyarakat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan sebelum ini berkata, Belanjawan 2026 akan menumpukan kepada tiga matlamat utama iaitu membela rakyat, memperkukuh ekonomi, dan memperteguh asas negara yang mampan serta inklusif.
Sementara itu, berdasarkan takwim Dewan Rakyat, Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 akan dibahaskan pada Peringkat Dasar selama lapan hari oleh Ahli Parlimen selepas dibentangkan hari ini.
Sesi penggulungan oleh kementerian dijadual berlangsung dari 29 Oktober hingga 4 November, diikuti perbahasan di Peringkat Jawatankuasa dari 5 hingga 27 November sebelum diluluskan di Dewan Rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








