ILTIZAM PDP bukti keberkesanan, lonjak 90 peratus graduan ke alam pekerjaan
KUALA LUMPUR – ILTIZAM Professional Development Programme (ILTIZAM PDP) kendalian Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) berjaya melahirkan 732 graduan bumiputera dengan purata 90 peratus daripada mereka memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat program.
Pengarah Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Ekuinas, Hizwani Hassan berkata, program yang diwujudkan sejak 2012 itu diperkenalkan bagi menangani isu pengangguran graduan, terutama belia Bumiputera daripada golongan terpinggir.
“Program di bawah cabang tanggungjawab sosial korporat (CSR) Ekuinas itu diwujudkan bagi membantu graduan muda, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif.
“Ramai dalam kalangan peserta merupakan generasi pertama dalam keluarga yang berjaya menamatkan pengajian di peringkat ijazah, namun masih kekurangan jaringan profesional untuk membantu mereka menapak ke dunia pekerjaan,” katanya dalam kenyataan.
Sebagai rekod, ILTIZAM PDP menawarkan pengalaman penempatan kerja bergaji selama 12 bulan bersama syarikat bereputasi di mana peserta bekerja sebagai Graduate Associate dengan gaji bulanan RM2,500.
Peserta turut menerima latihan tambahan meliputi kemahiran insaniah, komunikasi, penjenamaan diri dan kemahiran digital, selain pendedahan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI).

Hizwani menambah, alumni program kini membentuk komuniti yang saling menyokong antara satu sama lain dengan kembali membimbing peserta baharu, selain berkongsi testimoni kejayaan masing-masing.
ILTIZAM yang memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu Keusahawanan, Pendidikan dan Komuniti, menjadikan PDP sebagai tonggak utama di bawah teras Pendidikan dalam usaha memperkasa graduan Bumiputera.
Program itu turut selari dengan aspirasi GEAR-uP Kerajaan Malaysia di bawah tonggak Raise the Floor yang menekankan pembangunan kemahiran asas bagi memastikan graduan bersedia menghadapi keperluan industri semasa.
Permohonan bagi ILTIZAM PDP 2026 dibuka sehingga 30 September ini dengan syarat graduan Bumiputera berumur bawah 30 tahun, belum bekerja, pendapatan isi rumah kasar kurang RM5,000 dan bermotivasi tinggi.
Maklumat lanjut serta permohonan boleh dibuat melalui laman sesawang https://iltizam-pdp.ekuinas.com.my/.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








