Bonda Nor ingatkan ibu bapa, pantau telefon anak demi elak bahaya dunia maya
KUALA LUMPUR – Penulis terkenal, Bonda Nor mengingatkan para ibu bapa supaya tidak lepas tangan selepas memberikan telefon pintar kepada anak-anak kerana kemudahan itu boleh menjadi punca kerosakan akhlak jika tidak dipantau dengan baik.
Menerusi perkongsian di Facebook, Bonda Nor menegaskan bahawa telefon yang diberikan kepada anak bukan sekadar alat hiburan, tetapi satu amanah yang menuntut ibu bapa memikul tanggungjawab penuh.
Beliau berkata, kanak-kanak dan remaja belum matang untuk mengawal kehidupan mereka sendiri, justeru setiap pergerakan mereka di dunia digital perlu diperhatikan.

“Kita bagi anak telefon, biarlah dengan rasa amanah menjunjung perintah Allah. Kita kena tengok apa yang dia buat dengan telefon yang kita bagi.
“Anak-anak kita baru nak kenal dunia, dia tengah excited nak tahu, nak rasa banyak benda. Jadi, kita kena bimbing dia apa yang boleh, apa yang tak boleh,” katanya.
Beliau turut berkongsi pengalaman sendiri memantau telefon semua anaknya, termasuk yang sudah berada di universiti.
Walaupun tidak memeriksa setiap hari, beliau tetap melakukan pemeriksaan secara mengejut untuk memastikan anak-anak mematuhi peraturan penggunaan telefon yang ditetapkan.
Katanya, anak sekolah rendah dan menengah hanya dibenarkan menggunakan telefon ketika cuti dengan kawalan ketat, manakala hari persekolahan dilarang sama sekali.
Dalam perkongsian itu, Bonda Nor juga mengingatkan ibu bapa supaya berani menegur atau menghukum jika mendapati anak-anak terlibat dengan salah laku digital seperti menonton kandungan lucah, berbual kasar atau menjalinkan hubungan yang tidak sihat.
Beliau mendedahkan pernah sendiri berdepan situasi anaknya kantoi berhubungan secara berlebihan dengan rakan berlainan jantina sehingga terpaksa menghubungi ibu bapa rakan tersebut bagi mendapatkan kerjasama mendidik anak masing-masing.
“Biar anak menangis dengan ketegasan kita hari ini daripada kita dan dia sama-sama menangis penuh penyesalan di kemudian hari.
“Kita memang perlu sentiasa ada di sisi mereka, awasi pergerakan mereka dan sedia membimbing bila mereka tergelincir,” katanya lagi.
BACA : New Age: Bonda Nor seru wanita tidak lakukan perkara dimurkai Allah
Beliau mengumpamakan mendidik anak di era digital seperti mengawal layang-layang yang tidak boleh dilepaskan terus kerana bimbang akan tersasar jauh dan menjunam rosak.
“Pegang tali tu kuat-kuat. Walaupun kita nak tengok dia terbang tinggi, jangan terus lepaskan tali.
“Lepas sikit, tarik. Lepas lagi, tarik lagi. Kalau lepaskan terus, nanti tersasar jauh dan rosak bila jatuh menjunam,” tulisnya.
Tegasnya, anak-anak perlu dibimbing untuk menggunakan telefon dengan cara yang betul kerana kebebasan tanpa kawalan hanya akan mengundang padah.
“Ya, kita sayang anak kita. Kita nak dia happy, tapi bahagia yang sebenar hanya bila dia buat perkara yang betul.
“Biar dia menangis dengan ketegasan kita hari ini daripada kita dan dia sama-sama menangis penuh penyesalan di kemudian hari,” pesannya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








