Pasukan khas ditubuh siasat kematian kadet PALAPES UTM
JOHOR BAHRU – Satu pasukan petugas khas yang dianggotai wakil daripada tiga kementerian telah ditubuhkan bagi menyiasat kematian seorang kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), baru-baru ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pasukan itu terdiri daripada wakil daripada kementeriannya, Kementerian Dalam Negeri (KDN), dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Jelas beliau, pasukan petugas berkenaan telah pun memulakan siasatan.
“Saya difahamkan proses bedah siasat sudah pun dibuat, namun kita belum dapat laporan keputusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di luar Mesyuarat Bahagian UMNO Pasir Gudang, di sini hari ini.
Dalam perkembangan berasingan, Khaled berkata, Angkatan Tentera Malaysia turut menubuhkan jawatankuasa sendiri bagi menentukan punca kematian Syamsul Haris Shamsudin, 22.
Laporan media semalam menyebut, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman sebagai berkata, polis sedang menyiasat kematian Syamsul.
Ini susulan permintaan ibunya, Ummu Haiman Bee Daulatgun, yang mahu siasatan dijalankan kerana mendakwa punca kematian tidak jelas dan meragukan.
Menurut ibu Allahyarham, pemerhatiannya terhadap jenazah mendapati terdapat kecederaan serius pada tubuh yang tidak konsisten dengan maklumat awal bahawa kematian disebabkan sawan.
Justeru, ibu tunggal itu membuat laporan di IPD Kajang semalam bagi menuntut siasatan segera untuk mengetahui punca sebenar kematian anaknya.
Allahyarham Syamsul Haris, anak sulung daripada tiga beradik, merupakan pelajar Semester 2 Ijazah Sarjana Muda Keselamatan Siber di UTM.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















