Pelajar 14 tahun tular tumbuk guru mengaku salah
KAJANG – Seorang pelajar berusia 14 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap guru lelaki dalam satu kejadian di sebuah sekolah menengah, kelmarin.
Memetik laporan Sinar Online, pelajar peralihan Tingkatan Satu itu membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil.
Prosiding tersebut dijalankan secara tertutup memandangkan tertuduh adalah pesalah bawah umur.
Mahkamah menetapkan 11 September depan sebagai tarikh untuk menjatuhkan hukuman sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang guru lelaki berusia 29 tahun di sebuah sekolah menengah kira-kira jam 4.48 petang pada 28 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, peguam yang mewakili remaja tersebut, S Priyalatha merayu agar mahkamah membenarkan jaminan rendah memandangkan anak guamnya merupakan pesalah juvana yang masih bersekolah.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Zulbahrin pula mencadangkan ikat jamin sebanyak RM5,000 memandangkan kes ini tergolong dalam kategori serius dan telah menarik perhatian umum selepas tular di media sosial.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan pelajar itu diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin.
Sebelum ini, tular satu klip video berdurasi 38 saat di media sosial memaparkan pertengkaran antara dua individu lelaki yang berakhir dengan seorang pelajar menumbuk pipi seorang guru lelaki.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








