BERITA SEMASA

MPD tidak boleh jejak, kenal pasti individu – MCMC

CYBERJAYA – Data panggilan telefon bimbit (MPD) tidak diklasifikasikan sebagai data peribadi kerana ia langsung tidak mempunyai sebarang maklumat pengenalan bagi mengenal pasti atau menjejak individu.

Timbalan Ketua Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Zurkarnain Mohd Yasin berkata, data dikumpul hanya mempunyai lapan set yang terdiri daripada pengecam tanpa nama yang ditetapkan oleh pengendali, tarikh dan masa transaksi oleh pemancar, lokasi menara pemancar yang disambungkan kepada peranti, jenis rangkaian, dan pengecam negara.

mcmc
Contoh lapan set data MPD yang dikumpul bagi tujuan analisis Data Raya.

“Kita faham orang ramai khuatir data peribadi mereka akan terdedah.

“Mereka tidak perlu khuatir kerana lapan data set dikumpulkan tidak boleh digunakan untuk mengenal pasti atau menjejak individu secara tertentu,” katanya.

Zurkarnain berkata demikian ketika sesi taklimat bersama media di ibu pejabat MCMC, di sini hari ini.

Beliau turut memberi jaminan pengumpulan data ini mematuhi sepenuhnya undang-undang Malaysia dan piawaian antarabangsa.

“Inisiatif tersebut juga adalah sebahagian daripada usaha global yang disokong oleh agensi-agensi PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu). Semua parameter dibincangkan di peringkat antarabangsa, dan piawaian telah pun ditetapkan.

“Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang menggunakan MPD untuk menambah baik intervensi dasar dan memperkukuh pengumpulan data bagi tujuan statistik,” katanya lagi.

Untuk rekod, PBB menyedari potensi MPD sebagai satu sumber Data Raya yang boleh menyumbang kepada maklumat statistik yang lebih lengkap.

Sehubungan itu, badan dunia itu mewujudkan Jawatankuasa Pakar PBB mengenai Data Raya dan Sains Data bagi Statistik Rasmi (UN-CBED) pada 2014 untuk melihat dan mewujudkan kaedah pemantauan dan pelaporan terhadap pembangnunan mampan.

Semalam, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pengumpulan MPD adalah bertujuan menyokong pembentukan dasar berasaskan bukti termasuk bagi penambahbaikan infrastruktur rangkaian.

Beliau turut dipetik sebagai berkata, pendekatan baharu yang lebih terperinci, akan membolehkan kerajaan menilai keperluan sebenar rakyat dan merapatkan jurang digital secara lebih efektif.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button