Berita Semasa

Kes penukaran tanah rizab polis kepada gereja diklasifikasi NFA – Saifuddin

KUALA LUMPUR – Kes penukaran hak milik tanah rizab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kamunting, Perak kepada sebuah organisasi gereja di Melaka, diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, status NFA itu diputuskan berikutan siasatan polis tidak dapat membuktikan kewujudan unsur penipuan dalam kes tukar milik tanah rizab PDRM berkenaan.

“Kertas siasatan sudah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Perak dan keputusan kes adalah NFA.

“Keputusan NFA diberi kerana tiada unsur penipuan dapat dibuktikan dalam siasatan oleh polis.

“Untuk makluman, lot 784 adalah tanah milik yang didaftarkan di atas nama The Titular Roman Catholic Bishop of Melaka di bawah PN 154733,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Zahari Kechik (PN-Jeli) yang mahu tahu status siasatan polis terhadap sebidang tanah rizab PDRM di Kamunting, Perak yang sudah ditukar milik kepada sebuah organisasi gereja di Melaka tanpa pengetahuan.

Susulan itu laporan polis oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping berhubung kes tukar milik tanah lot 784 Berek Kelamin dan Rumah Ketua Balai berpangkat Sarjan di Kamunting, Taiping, dibuat tanpa pengetahuan.

Pada 30 April lalu, portal MalaysiaGazette yang memetik sumber melaporkan, sebidang tanah rizab PDRM di Kamunting, ditukar hak milik kepada sebuah organisasi gereja di Melaka tanpa pengetahuan.

Menurut laporan itu, penukaran tanah milik PDRM itu terbongkar selepas polis menerima surat daripada sebuah syarikat peguam yang mewakili pihak gereja pada 14 April lalu, yang menuntut hak milik tanah seluas 0.55 hektar di Mukim Kamunting.

Show More

Related Articles

Back to top button