Pertemuan Anwar-Putin kukuhkan hubungan strategik Malaysia-Russia
MOSCOW – Pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Russia, Vladimir Putin di Kremlin semalam disifatkan sebagai cukup bermakna apabila kedua-dua pemimpin membincangkan pelbagai bentuk kerjasama strategik termasuk perdagangan, pendidikan, tenaga, keselamatan siber dan pertukaran budaya.
Anwar berkata, pertemuan itu mencerminkan kesungguhan kedua-dua negara dalam mencari titik temu demi masa depan yang lebih aman dan makmur, sekali gus mengukuhkan hubungan dua hala yang sedia terjalin.
“Russia bukan sekadar sebuah kuasa besar, tetapi sebuah peradaban yang kaya dengan sejarah perjuangan, budaya, sastera dan seni.
“Kekaguman saya terhadap Russia lahir bukan hanya daripada hubungan diplomatik, tetapi juga pemahaman terhadap ketabahan rakyatnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Anwar, pelbagai bentuk kerjasama telah dibincangkan termasuk usaha memperluas dagangan dua hala serta menarik pelaburan baharu dari Rusia dalam sektor bernilai tinggi seperti aeroangkasa, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital.
“Kami juga melihat potensi besar hubungan antara rakyat, termasuk pertukaran pelajar, penyediaan biasiswa, pengembangan program pengajian Melayu, serta kerjasama dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta sains teknologi,” katanya.
Bagi memperkukuh keterhubungan antara kedua-dua negara, Anwar menyatakan hasrat agar syarikat penerbangan Russia termasuk Aeroflot dapat menyambung semula laluan terus ke Malaysia dalam masa terdekat.
Dalam pertemuan itu, Anwar turut menyampaikan penghargaan kepada Putin atas sokongan Russia terhadap hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS, iaitu sebuah blok ekonomi yang disertai negara-negara membangun utama.
“Kami percaya BRICS mampu menjadi saluran baharu untuk kerjasama pembangunan yang lebih adil dan seimbang bagi negara-negara Selatan Global,” ujarnya.
Anwar berkata, Malaysia akan terus memainkan peranan dalam kerangka multilateralisme serta menegaskan pendirian konsisten negara dan ASEAN dalam menolak tindakan unilateral serta mempertahankan prinsip kedaulatan, integriti wilayah dan penyelesaian secara aman.
Di penghujung pertemuan itu, Anwar berkata, beliau turut menjemput Putin untuk berkunjung ke Malaysia, sama ada dalam masa terdekat atau sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang dijadual berlangsung Oktober ini.
“Kehadiran beliau akan menjadi pemangkin penting ke arah hubungan dua hala dan kerjasama serantau yang lebih utuh,” katanya sambil menyuarakan penghargaan atas layanan mesra sepanjang lawatan ke negara itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








