Berita Semasa

PM merafak sembah sempena hari keputeraan Agong

PUTRAJAYA – – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Seri Paduka yang ke-64.

“Merafak Sembah dan setinggi-tinggi tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

“Patik bagi pihak Kerajaan Perpaduan mendoakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala semoga Kebawah Duli Tuanku dan Raja Permaisuri Agong serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.

“Semoga baginda kekal qarar memerintah dengan adil dan saksama serta terus berada pada kedudukan paling tinggi dalam Perlembagaan negara, seiring fungsi institusi diraja sebagai pelindung agama Islam dan menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan semua kaum di negara Malaysia yang tercinta.

“Patik dan sekalian rakyat akan terus memberikan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada institusi raja berperlembagaan,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya hari ini.

Show More

Related Articles

Back to top button