BERITA SEMASA

Bantuan tidak tersusun, terpaksa isi borang berkali-kali – Mangsa letupan paip gas

SUBANG JAYA – Insiden letupan paip gas di Putra Heights baru-baru ini bukan sahaja memusnahkan harta benda, malah mendedahkan kelemahan serius dalam pengurusan krisis bencana.

Seorang mangsa yang rumahnya kini telah diisytiharkan ‘tidak selamat untuk diduduki’ menceritakan pengalaman getir selepas insiden tersebut.

Menurut beliau yang enggan dikenali, walaupun pihak TNB telah menyediakan penempatan sementara di kuarters, masih ramai mangsa tertanya-tanya mengenai prosedur sebenar untuk mendapatkan bantuan pembinaan semula bagi rumah yang musnah sepenuhnya atau tidak selamat dihuni.

Keadaan salah sebuah rumah mangsa yang musnah teruk akibat letupan paip gas pada 1 April lalu. 

“Mangsa diminta berulang kali mengisi borang oleh pelbagai agensi dan NGO. Tiada satu pangkalan data pusat. Ini menyebabkan maklumat tidak diselaraskan dan proses bantuan menjadi sangat rumit,” tulisnya dalam satu mesej yang tular di WhatsApp.

Beliau turut meluahkan kekecewaan terhadap pengurusan data bencana yang lemah dan tiadanya penyelarasan antara agensi, menyebabkan ramai mangsa yang layak tercicir dan ada pula yang tidak sepatutnya menerima bantuan mendapat keistimewaan.

Di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), beliau mendakwa tidak ada sistem pengenalan yang jelas.

“Tak tahu siapa mangsa, siapa pelawat, siapa sukarelawan. Saya cadangkan kepada EXCO Selangor, YB Ng Sze Han supaya semua mangsa diberi tag gelang seperti pesakit di hospital supaya agihan bantuan lebih terurus,” katanya.

Beliau juga berkongsi tentang kesukaran untuk keluar masuk PPS, terutama apabila perlu menghantar isteri ke hospital untuk rawatan dialisis.

“Kena parkir jauh, berjalan tengah panas balik semula ke PPS. Sepatutnya ada sistem pelekat kenderaan khas untuk mangsa,” kongsinya lagi.

Selain itu, beliau juga mendakwa ada ketidaktelusan dalam pengagihan bantuan kenderaan.

“Ada yang keretanya tidak terjejas pun boleh dapat bantuan. Satu keluarga dalam satu lot tanah dapat tiga buah kereta. Tapi mangsa yang kereta hangus terus cuma mampu tengok,” luahnya.

Luahan turut ditujukan kepada Pejabat Parlimen Puchong apabila pegawai YB, dikenali sebagai Kamarul, dikatakan menjawab dengan angkuh dan mendakwa ‘YB Yeo tak nampak langsung.’

“Team pejabat YB Yeo pun tak pandai jaga sentimen. Bantuan Group Berjaya suruh mangsa pergi seberang jalan ke LRT nak ambil. Kenapa tak diagih dalam PPS? Kenapa nak susahkan kami?” soalnya kesal.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan negeri menubuhkan satu taskforce khas bencana yang menyelaras semua agensi dengan sistem data berpusat, mungkin melalui integrasi dengan PADU (Pangkalan Data Utama).

“Kita perlu digitalisasi proses pengurusan bencana. Supaya bantuan tidak disalah agih, dan yang benar-benar terjejas diberi keutamaan,” tegasnya.

Mangsa kini hanya berharap agar suara mereka didengari dan proses bantuan pasca-bencana diperbaiki demi kebajikan semua yang terlibat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button