Aset beku, waris merana: Kenapa anda perlu kemaskini penama sekarang!
PERNAHKAH anda terfikir apa akan berlaku kepada anak-anak dan pasangan jika anda pergi tanpa meninggalkan sebarang perancangan harta yang jelas?
Mengikut anggaran terkini, terdapat lebih RM100 bilion aset di Malaysia yang masih dibekukan dan tidak dapat digunakan oleh waris.
Pengarah Komersial Mawarith Integrated Sdn Bhd (MiiM), Abdul Hadi Pilus berkata, salah satu punca kepada masalah ini adalah kegagalan pemilik aset mengemaskini penama.

“Sikap sambil lewa seperti ini bukan sahaja merumitkan urusan pentadbiran malah menggugat kelangsungan hidup waris, terutama anak-anak bawah umur dan isteri yang tidak bekerja,” kata Abdul Hadi kepada Malaysia Tribune.
Menurut beliau, penama merupakan individu yang dilantik untuk menguruskan pencairan aset selepas berlaku kematian.
Justeru katanya, amat penting untuk setiap daripada kita memastikan aset seperti KWSP, Tabung Haji, ASB, takaful dan koperasi dapat dicairkan melalui proses yang mudah.
“Malangnya, ramai yang mengabaikan keperluan mengemaskini penama sehingga aset tersebut dibekukan. Ini membawa kesan besar kepada waris, khususnya dari segi kelangsungan kewangan.
“Anak-anak bawah umur mungkin kehilangan sumber untuk pendidikan dan keperluan harian, manakala pasangan yang tidak bekerja menghadapi kesukaran untuk meneruskan kehidupan tanpa sokongan kewangan,” ujarnya.
Tambah Abdul Hadi, tanpa penama, waris terpaksa melalui proses perundangan untuk mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir yang bukan sahaja memakan masa bertahun-tahun, tetapi juga melibatkan kos yang tinggi.
“Keadaan ini sering menimbulkan tekanan emosi serta konflik antara ahli keluarga, terutama jika berlaku perebutan harta atau salah faham.

“Sikap sambil lewa yang biasa dilihat dalam masyarakat seperti menangguhkan proses kemaskini penama kerana menganggap ia perkara kecil hanya memberi beban kepada waris selepas pemilik aset meninggal dunia,” katanya lagi.
Selain itu katanya, ada juga yang berpendapat bahawa penama tidak penting kerana harta akan diagihkan mengikut faraid.
“Hakikatnya, penama bukanlah pewaris mutlak, tetapi berperanan sebagai pemudah cara dalam proses pencairan aset.
“Tanpa penama, proses faraid akan tertangguh kerana aset menjadi beku dan memerlukan tindakan undang-undang,” tegasnya.
Di samping itu, menamakan anak bawah umur sebagai penama juga boleh membawa masalah kepada waris.
“Ini kerana aset tersebut akan dikendalikan oleh syarikat Amanah atau pentadbir yang dilantik oleh mahkamah, yang akan mengenakan caj pentadbiran dan melibatkan proses yang rumit serta panjang.
“Kesan daripada sikap sambil lewa ini amat besar. Anak-anak mungkin kehilangan dana pendidikan, makanan dan tempat tinggal yang selesa.

“Pasangan pula, terutama isteri yang tidak bekerja atau bergantung sepenuhnya kepada pendapatan suami akan menghadapi tekanan kewangan yang serius.
“Malah, kos pentadbiran oleh pihak ketiga seperti syarikat Amanah juga akan mengurangkan nilai sebenar harta yang sepatutnya dinikmati waris,” katanya.
Namun begitu, Abdul Hadi memberitahu masalah ini boleh diatasi dengan beberapa langkah mudah.
Pemilik aset disaran untuk membuat semakan penama secara berkala, sekurang-kurangnya setiap dua hingga tiga tahun atau selepas berlakunya perubahan besar dalam hidup seperti perkahwinan, perceraian atau kelahiran anak.
“Penama yang dipilih juga perlu bertanggungjawab, berumur 18 tahun ke atas dan mampu menguruskan aset dengan baik.
“Selain itu, mendapatkan khidmat nasihat profesional daripada pakar perancangan harta juga sangat digalakkan untuk memastikan aset diuruskan dengan betul mengikut syariat dan undang-undang,” kata beliau.
Apa yang pasti, sikap sambil lewa dalam mengemaskini penama mungkin kelihatan kecil tetapi kesannya sangat besar kepada keluarga yang ditinggalkan.
Oleh itu, jangan biarkan waris anda tersepit dengan beban dan kekangan kewangan selepas anda tiada. Luangkan masa untuk mengemaskini penama pada aset anda hari ini.
Seperti kata pepatah: “Aset yang diurus dengan baik adalah tanda kasih sayang anda kepada keluarga, bukan beban yang ditinggalkan.”
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






