RENCANAGAYA HIDUP

Saringan awal mampu cegah kanser payudara

KANSER payudara merupakan salah satu kanser paling lazim berlaku dalam kalangan wanita di seluruh dunia.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada tahun 2022, dianggarkan seramai 2.3 juta wanita didiagnos menghidap kanser payudara di peringkat global.

Ia juga menyebabkan kematian kira-kira 670,000 di seluruh dunia pada tahun yang sama.

Pemeriksaan sendiri payudara boleh mencegah risiko menghidap kanser ini.

Di Malaysia, kanser payudara menyumbang kepada 32.9 peratus daripada semua kes kanser yang didiagnos dalam kalangan wanita.

Dalam satu kajian, seorang daripada 23 wanita di negara ini berisiko menghidap kanser payudara, menunjukkan peningkatan daripada nisbah 1 dalam 27 wanita yang direkodkan pada 2019.

Malah, lebih menyedihkan sebanyak 47.9 peratus daripada kes kanser payudara di Malaysia didiagnos pada peringkat akhir iaitu Tahap 3 dan 4 sekali gus menjejaskan keberkesanan rawatan dan prognosis pesakit.

Semalam, penulis baru sahaja disahkan negatif kanser payudara selepas melalui saringan mamogram, ultrasound dan biopsi di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.

Gambar menunjukkan pemeriksaan mamogram mampu mengesan perubahan yang berlaku pada payudara.

Keputusan tersebut membuka mata penulis betapa pentingnya pengesanan awal dilakukan bagi mencegah risiko menghidap penyakit berbahaya itu.

Pegawai Perubatan, Jabatan Pembedahan Am, Hospital Sultan Idris Shah, Dr. Maryam Sarkauvi berkata, penyakit ini berlaku apabila sel-sel di bahagian payudara mula membahagi secara tidak normal dan membentuk ketumbuhan yang boleh merebak ke bahagian tubuh lain.

Justeru katanya, kesedaran tentang faktor risiko dan langkah pencegahan adalah penting bagi mengurangkan kebarangkalian menghidap penyakit kanser payudara.

Dr. Maryam Sarkauvi

“Terdapat beberapa faktor risiko yang boleh meningkatkan peluang seseorang menghidap kanser payudara. Antaranya ialah sejarah keluarga, usia, gaya hidup tidak sihat dan hormon.

“Jika terdapat ahli keluarga yang pernah menghidap kanser payudara, risiko seseorang wanita itu akan lebih meningkat berbanding mereka yang tiada sejarah keluarga.

“Manakala faktor peningkatan usia pula akan menyebabkan risiko bertambah terutama bagi wanita melepasi umur 50 tahun.

“Selain itu, aspek pemakanan yang kurang sihat seperti tinggi lemak, pengambilanan minuman beralkohol dan kekurangan aktiviti fizikal turut menyumbang kepada risiko menghidap kanser payudara ini,” jelas Dr. Maryam kepada Malaysia Tribune.

Tanda-tanda kanser payudara yang boleh dikesan sendiri.

Tambah beliau, penggunaan terapi hormon untuk jangka masa panjang atau kedatangan haid awal juga dikaitkan dengan peningkatan risiko didiagnos kanser payudara.

“Meskipun tidak semua faktor risiko dapat dielakkan, tapi terdapat pelbagai langkah boleh diambil golongan wanita untuk mengurangkan kebarangkalian menghidap penyakit ini.

“Antara yang utama ialah mengamalkan pemakanan sihat dan diet seimbang yang kaya dengan sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin penuh.

Amalkan pengambilan makanan seimbang bagi mengurangkan risiko menghidap kanser payudara.

“Elakkan juga pengambilan makanan berlemak tinggi dan yang diproses secara kerap atau berterusan serta jauhi rokok dan minuman keras,” kata Dr Maryam.

Di samping itu, tambah beliau, golongan wanita juga digalakkan melakukan aktiviti fizikal atau senaman secara berkala sekurang-kurangnya 150 minit seminggu.

“Paling penting, lakukan pemeriksaan sendiri payudara bagi mengenal pasti sebarang perubahan awal.

“Bagi wanita yang berusia 40 tahun ke atas pula, mereka disarankan menjalani saringan mamogram secara berkala untuk mengesan jika ada risiko mengalaminya.

Pemeriksaan mamogram secara berkala digalakkan buat wanita yang berusia 40 tahun ke atas.

“Untuk yang perlu mengambil terapi hormon, mereka hendaklah berbincang dengan doktor agar dapat memahami risiko dan faedahnya sekali gus mencegah daripada menghidap kanser,” katanya.

Apa yang pasti, kanser payudara adalah penyakit serius yang mengancam nyawa. Namun, dengan kesedaran dan langkah pencegahan yang tepat, risiko menghidapnya dapat dikurangkan.

Buat golongan wanita di luar sana, anda perlu sentiasa prihatin dengan tahap kesihatan diri. Jika terdapat tanda-tanda mencurigakan, dapatkan pemeriksaan awal.

Jangan pula disebabkan rasa takut untuk menjalani pemeriksaan menyebabkan anda terlewat untuk mengesan penyakit berbahaya itu.

Ingatlah, pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa kita.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button