BERITA SEMASA

Pasukan Innovator MINDEF raih lima pingat, lapan anugerah khas di SIIF 2024

SEOUL – Kementerian Pertahanan (MINDEF) buat julung kalinya melebarkan sayap apabila menyertai Seoul International Invention Fair 2024 yang bertempat di COEX Convention and Exhibition Hall, di Korea Selatan.

MINDEF berkata, penganjuran SIIF 2024 sebagai sebuah medium pameran produk inovasi ketiga terbesar di dunia telah berjaya menarik penyertaan daripada 32 buah negara dengan 519 produk inovasi yang dipertandingkan.

Katanya, para innovator MINDEF terdiri daripada pasukan Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara mempertaruhkan lima produk inovasi dan telah berjaya merangkul satu pingat emas, tiga pingat perak dan satu pingat gangsa serta mendapat anugerah khas inovasi daripada lapan buah negara.

“Satu pingat emas dimenangi oleh TUDM bagi produk Revolution Innovation Advance Network (RAIN), manakala dua pingat Perak dimenangi oleh TLDM bagi produk Compact Tactical Light dan Bio Chain Lube.

“Satu lagi pingat perak dimenangi oleh TUDM bagi produk Radar Warning Receiver Blind Sensing (RWR B-sensing) dan satu pingat gangsa dimenangi oleh TDM bagi produk Smart Fresh Water Generator (SWG),” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah kenyataan itu, Pasukan Innovator MINDEF turut mendapat penghargaan khas bagi World Innovation & Collaborative Idea Appreciation daripada lapan negara iaitu Korea Selatan, Indonesia, Morroco, Thailand, Taiwan, Philippines, Saudi Arabia dan Vietnam.

“TDM mendapat penghargaan khas dari negara Singapura, manakala TLDM pula mendapat penghargaan khas dari Korea Selatan.

“Selain itu, TUDM turut mendapat penghargaan Khas dari negara Vietnam (pingat emas), Thailand (pingat emas), Morocco, Saudi Arabia, Indonesia dan Filipina,” katanya.

MINDEF turut mengucapkan syabas dan tahniah diucapkan kepada semua innovator MINDEF yang berani mengembangkan bakat dan daya inovasi di peringkat antarabangsa.

“Semoga kejayaan ini menjadi pembakar semangat buat semua Warga Kerja Pertahanan untuk terus berinovasi demi meningkatkan kecemerlangan Kementerian Pertahanan dan mengharumkan nama negara di pentas dunia,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button