PGMOL siasat video David Coote didakwa hisap serbuk putih
LONDON – Badan Pengadil Profesional (PGMOL) memandang serius dakwaan terhadap pengadil Liga Perdana Inggeris, David Coote susulan tularnya sebuah video yang didakwa menunjukkan beliau menghisap serbuk putih.
Jurucakap PGMOL, mengesahkan Coote telah digantung tugas sementara siasatan penuh dijalankan. Penggantungan itu dibuat hanya beberapa hari selepas video lain muncul menunjukkan Coote membuat kenyataan menghina bekas pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dan kelab tersebut.
“Kami mengambil maklum dakwaan itu dan menganggapnya dengan sangat serius. David Coote kekal digantung tugas sementara siasatan dijalankan. Kebajikan David tetap menjadi keutamaan kami dan kami komited memberikan sokongan yang diperlukan sepanjang tempoh itu.
“Pada masa ini, kami tidak dapat memberikan komen lanjut,” katanya memetik SkyNews
Laporan The Sun mendakwa video itu dirakam pada 6 Julai, sehari selepas perlawanan suku akhir Euro 2024 antara Portugal dan Perancis di mana Coote bertugas sebagai Penolong VAR.
Susulan dakwaan itu, Jawatankuasa Pengadil UEFA segera menggantung Coote pada 11 November dan melantik seorang penyiasat etika serta disiplin untuk menyiasat kes tersebut.
“Jawatankuasa Pengadil UEFA segera menggantung David Coote sehingga diberitahu kelak sebaik sahaja menyedari tingkah laku tidak wajar beliau,” katanya.
Sementara itu, Persatuan Bola Sepak (FA) turut memaklumkan siasatan terhadap Coote sedang dijalankan. PA News Agency telah menghubungi FA untuk mendapatkan maklum balas lanjut.
Dalam perkembangan lain, Coote baru-baru ini mengadili perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Liverpool dan Aston Villa yang menyaksikan Liverpool menang 2-0.
Keputusan Coote untuk tidak mengambil tindakan terhadap Leon Bailey selepas insiden melibatkan Mohamed Salah dalam perlawanan tersebut turut mencetuskan kritikan peminat.
Kes itu terus menjadi perhatian dunia bola sepak, dengan banyak pihak menantikan hasil siasatan penuh terhadap dakwaan serius yang melibatkan pengadil berkenaan.