Polis giat kesan pemandu lori langgar motosikal
KLANG – Pemandu lori yang terlibat dalam satu kemalangan jalan raya dengan sebuah motosikal di Kilometer 4.8 Lebuhraya Persekutuan semalam dicari polis.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, kemalangan jam 12.30 tengah hari itu melibatkan sebuah lori dan motosikal dari arah Shah Alam menghala ke Klang.
Beliau berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila lori tersebut mengubah haluan ke kanan dan melanggar motosikal jenis Yamaha FZ.
“Kedua-duanya datang dari arah sama dan akibat daripada pelanggaran itu, penunggang motosikal terjatuh dan terlanggar besi pembahagi jalan.
“Pemandu lori tersebut masih belum tampil membuat laporan polis.
“Sehubungan itu, usaha mengesan pemandu lori terbabit sedang giat dijalankan oleh pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, satu kertas siasatan telah dibuka dan disiasat bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tambahnya, mangsa seorang lelaki berusia 30 tahun telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi menerima rawatan lanjut.
Dalam masa sama katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut diminta tampil membantu siasatan.
“Mereka boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat, Inspektor Surihan Samsudin di talian 013-2082327.