Bisnes & Ekonomi

Usahawan.ai tawar teknologi AI bantu usahawan kembangkan perniagaan

DALAM dunia perniagaan yang semakin kompetitif, kecerdasan buatan (AI) muncul sebagai alat yang penting bagi usahawan untuk mengembangkan dan memperkukuhkan perniagaan mereka.

Menerusi kemajuan teknologi yang pesat, AI menawarkan pelbagai solusi yang dapat meningkatkan produktiviti dan pengalaman pelanggan.

Menyedari kebaikkan ini, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) telah membangunkan platform khas yang menggunakan teknologi AI bagi membantu usahawan di negara ini.

Diberi nama usahawan.ai, (https://usahawan.ai/) ia berfungsi sebagai alat analisis yang berupaya untuk menganalisis dan menghasilkan pelbagai data perniagaan.

Pengajar pemasaran digital bagi platform usahawan.ai, Kamarul Baharin berkata, antara fungsi sistem tersebut termasuk memberi idea pengiklanan sesebuah produk atau perkhidmatan.

“Cabaran utama usahawan apabila mereka mahu menceritakan produk atau perkhidmatan apa yang mereka tawarkan kepada pelanggan.

“Oleh sebab itu, wujudnya teknologi AI ini untuk kita mudahkan usahawan yang mana mereka hanya perlu isikan beberapa informasi dan ianya diberikan kepada sistem AI untuk diproses,” katanya yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu KB.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Malaysia Tribune pada Majlis Himpunan Usahawan anjuran DPIM di Pusat Konvensyen Bangi hari ini.

Lebih menarik, Kamarul berkata, harga langganan bagi usahawan.ai hanya RM30 setiap bulan, iaitu tawaran yang berpatutan jika dibandingkan dengan platform AI lain.

“Banyak usahawan yang hadapi masalah kekurangan sumber dan sekiranya mereka ingin mendapatkan khidmat daripada mereka yang profesional, kosnya agak mahal sebab itu kami bantu menggunakan platform ini.

“Selain daripada penulisan iklan (copywriting), kita juga ada sistem dokumentasi untuk hasilkan surat jualan atau kalau ada kakitangan baharu, macam mana kita mahu buatkan mereka punya surat perjanjian,” jelasnya.

Sementara itu, Kamarul berkata, pihaknya optimis dengan sasaran sebanyak 1,000 langganan bagi usahawan.ai menjelang akhir tahun ini.

“Kalau ikutkan kita sasarkan sebanyak 1000 langganan daripada usahawan dan insya-Allah sasaran itu dapat dicapai pada November tahun ini,” katanya.

Sebagai rekod, usahawan.ai bakal dilancarkan secara rasmi pada bulan Disember tahun ini dengan fungsi yang lebih menyeluruh.

Show More

Related Articles

Back to top button