Berita Semasa

Dua anak Tun M sudah isytihar harta – Azam Baki

PUTRAJAYA – Dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah mengisytiharkan harta mereka.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, Tan Sri Mohkzani dan Mirzan masing-masing mengisytiharkan harta mereka dalam tempoh ditetapkan badan pencegahan rasuah itu.

“Mereka sudah mengisytihar harta kepada kami, namun pihak penyiasatan sedang buat penyelarasan dengan peguam mereka.

“Secara asasnya, mereka sudah isytihar harta, itu paling penting,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.

Laporan media sebelum ini memberitahu, SPRM memberi tambahan masa selama sebulan lagi kepada Mirzan dan adiknya, Mokhzani untuk mengisytiharkan aset masing-masing selepas diberi lanjutan sama pada Mei lalu.

Pada 18 Januari lalu, Mirzan yang juga anak sulung Mahathir telah dipanggil bagi membantu siasatan berkait kekayaannya dengan notis untuk mengisytiharkan harta dikeluarkan kepadanya.

Mokhzani pula dilapor disiasat di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Mirzan dan Mokhzani diarahkan SPRM untuk mengisytiharkan aset mereka sejak 1981 iaitu bermula tahun pertama Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Azam berkata, pihaknya kini masih berhubung dan berkomunikasi dengan peguam Mirzan serta Mokhzani untuk mendapatkan maklumat tambahan serta penjelasan membabitkan pengisytiharan itu.

“Jadi siasatan ke atas aset itu sudah bermula untuk mengenal pasti dan untuk menyiasat lebih lanjut apa yang mereka isytihar, namun apa yang penting, mereka isytihar mengikut tempoh masa ditetapkan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button