BERITA SEMASA

Pemberian khas Sabah, Sarawak naik kepada RM600 juta

KOTA KINABALU – Kerajaan Persekutuan bersetuju meningkatkan kadar Pemberian Khas interim untuk Sarawak dan Sabah dari RM300 juta kepada RM600 juta.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, semakan bagi peningkatan sekali ganda itu sepatutnya dibuat setiap lima tahun sekali namun ianya diputuskan lebih awal dan dijadual dilaksanakan tahun depan.

Tambahnya, peningkatan kadar itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), di sini hari ini.

“Ada beberapa perkara yang kita bincangkan tadi pasti yang utama iaitu berhubung kait dengan perkara 112D ini untuk peruntukan khas Sabah dan Sarawak di mana tahun lepas telah diumumkan sebanyak RM300 juta untuk setiap negeri dan kalau mengikut ini merupakan interim.

“Yang sekarang ni dari segi formula belum dapat dimuktamadkan kalau ikut interim kalau ikutkan semakan setiap lima tahun tapi tadi diputuskan oleh Perdana Menteri untuk menaikkan kadar interim ini daripada RM300 juta kepada RM600 juta untuk setiap negeri maknanya sekali ganda kenaikan ini akan bermula pada tahun 2025,” kata Fadillah.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hadir pada mesyuarat MTPMA63 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.

Tambah Fadillah pengumuman itu juga sepatutnya dibuat pada pembentangan belanjawan akan datang namun telah dipersetujui untuk diumumkan lebih awal pada mesyuarat MTPMA63, kali ini.

“Sebab dia interim jadi Sabah dan Sarawak menerima dengan hati yang terbuka sudah pasti Sabah Sarawak mengucapkan terima kasih tapi di akhirnya disebabkan ianya interim kita masih mencari jalan bagaimana untuk mencari formula.

“Yang penting kita mengucapkan terima kasih bagi pihak negeri Sabah dan Sarawak sebab ada kenaikkan itu lebih kepada membantu Sabah Sarawak seperti pengurusan dan sebagainya bagaiama pengurusan digunakan terserah kepada Sabah Sarawak yang penting peningkatan itu berlaku,” katanya lagi.

Sesi mesyuarat hari ini turut melibatkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta beberapa barisan menteri kabinet Persekutuan dan kabinet negeri.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button