RM100 juta bagi tambah baik fasiliti keselamatan sempadan utara Semenanjung
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta bagi menambah baik fasiliti keselamatan sempadan utara Semenanjung.
Perdana Menteri berkata, ia merupakan bukti komitmen kerajaan dalam usaha memerangi jenayah di sempadan, sekali gus meningkatkan ekonomi di utara Semenanjung dan selatan Thailand.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata, beliau akan bertemu Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin pada 3 Ogos bagi membincangkan isu keselamatan negara dan ekonomi dua wilayah itu.
“Pada 3 Ogos ini saya akan bertemu PM Thailand di Sungai Golok dan Rantau Panjang untuk bicara soal keselamatan sempadan dan rancakkan pertumbuhan ekonomi di utara Semenanjung.
“Untuk kemudahan itu, saya setuju luluskan peruntukan tambahan RM100 juta untuk sempadan Kedah, Kelantan, dan Perlis,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sebelum merasmikan Bulan Keselamatan Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Mengulas lanjut, Anwar turut mengarahkan agar usaha penambahbaikan itu dilonggarkan, namun tidak mengenepikan tatakelola dan tadbir urus yang berintegriti dari sudut perolehannya.
“Namun, ditegaskan bahawa pembelian aset-aset keselamatan mesti dibuat dengan cara yang lebih tersusun dan terencana agar tatakelola dan tadbir urus perolehannya berintegriti serta menjimatkan kos kerajaan,” katanya.