Didenda MFL: Sultan Selangor murka, tidak teragak-agak tarik keluar Selangor FC
SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah Alhaj murka dan berdukacita terhadap keputusan Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung hukuman ketidakhadiran Selangor FC ke perlawanan Piala Sumbangsih pada 10 Mei lalu.
Sultan Sharafudin bertitah, keputusan MFL adalah tidak bertanggungjawab, tidak berperikemanusiaan dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku.
“beta amat murka dengan keputusan terbaharu MFL ini yang beta anggap tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan, dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku,” titah baginda dalam kenyataannya.
Baginda merujuk kepada insiden serangan asid yang mengancam nyawa pemain bola sepak Selangor dan Malaysia, Faisal Halim, pada 5 Mei lalu, serta beberapa lagi serangan terhadap pemain bola sepak profesional pada minggu yang sama.
“beta telah pun memberi perkenan kepada pihak Selangor FC untuk menghantar permohonan penangguhan perlawanan Piala Sumbangsih kerana para pemain Selangor FC masih dalam keadaan trauma dan ketakutan.
“Bagaimanapun, pihak MFL telah menolak permohonan penangguhan tersebut dan memberi kemenangan 3-0 serta kejuaraan Piala Sumbangsih kepada pihak lawan,” tambah baginda lagi.
Baginda turut mengkritik hukuman yang dijatuhkan ke atas Selangor FC, denda sebanyak RM100,000, bayaran pampasan kerugian tuan rumah dan MFL termasuk pemotongan tiga mata, serta hukuman menjalankan perlawanan tanpa penonton sebagai tidak masuk akal dan berlebihan.
Tambahnya, Sultan Sharafudin menzahirkan rasa terkejut kerana Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari tahun 1995 hingga 2013, tidak menunjukkan kesungguhan dalam mempertahankan Selangor FC.
“beta terkejut dan kecewa kerana Datuk Hamidin langsung tidak serius bersuara padahal beliau sebelum ini merupakan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari tahun 1995 hingga 2013 dan berpengalaman dalam arena bola sepak Selangor serta menerima darjah kebesaran Datuk Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) daripada beta,” katanya.
Sebagai Penaung FAS, baginda melahirkan rasa kecewa terhadap keganasan yang semakin memburukkan sukan bola sepak tempatan, serta sikap MFL dan FAM yang tidak serius dalam menangani aspek keganasan dan kezaliman terhadap pemain.
Baginda turut menegaskan bahawa jika masih memimpin FAS dan Selangor FC, baginda tidak akan teragak-agak untuk menarik keluar pasukan Selangor daripada Liga Super untuk tempoh masa tertentu.
“beta kini hanya berperanan sebagai Penaung di dalam FAS. Namun jika beta merupakan peneraju kepimpinan FAS dan Selangor FC, beta tidak teragak-agak untuk menarik keluar pasukan Selangor daripada Liga Super untuk tempoh masa tertentu,” katanya.
Baginda mengingatkan bola sepak sepatutnya menjadi platform perpaduan antara berbilang kaum dan rakyat bukan platform keganasan.
“beta ingin mengingatkan sekali lagi bahawa bola sepak adalah sukan yang digemari dan menyatupadukan rakyat Malaysia berteraskan semangat kesukanan yang tinggi,” ujar baginda.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








