Jenayah & Mahkamah

Dakwaan kertas siasatan Zayn Rayyan bocor: Polis dapatkan kerjasama MCMC

KUALA LUMPUR – Bukit Aman akan mendapatkan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi menjalankan siasatan berhubung penyebaran maklumat kononnya fakta siasatan berkaitan kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin di media sosial, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, penyebaran maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya sedemikian adalah satu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab.

Berikutan itu, katanya pihaknya akan menghubungi MCMC bagi menyekat penyebaran maklumat yang tidak sahih sehingga boleh mengganggu perjalanan perbicaraan kes kanak-kanak autisme itu.

“Saya ingin katakan sekali lagi segala perkara yang membabitkan siasatan ini harus datang dari pihak yang rasmi.

“Ini adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab oleh sesiapa sahaja yang kita kesan (pelaku) kemudian kerana dia boleh mengganggu perjalanan perbicaraan.

“Ia memang boleh mengganggu perjalanan perbicaraan yang akhirnya kita tidak akan mendapat keadilan kepada arwah adik Zayn Rayyan itu sendiri,” katanya memetik laporan BH Online hari ini.

Tambah Mohd Shuhaily, penyebaran maklumat tidak bertanggungjawab sebegitu bukan sahaja boleh menjejaskan perbicaraan, malah memberi kesan kepada pihak pendakwaan, peguam bela serta keluarga Zayn Rayyan sendiri.

“Kita akan menyiasat sehingga ke akar umbi untuk kenal pasti pihak yang menyebarkan maklumat berkenaan.

“Saya tidak akan teragak-agak untuk mendakwa pihak itu kerana segala penat jerih rakan-rakan (pasukan siasatan) yang lain dalam menyiasat (kes Zayn Rayyan) boleh tergugat dengan perkara yang berlaku ini,” katanya.

Berikutan itu, beliau berkata pihaknya akan berhubung dengan pihak MCMC untuk mendapatkan bantuan dalam siasatan termasuk menurunkan kandungan berkenaan yang dikesan dimuat naik di satu akaun di Telegram.

Mengulas mengenai adik kepada Zayn Rayyan yang kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mohd Shuhaily berpendapat tindakan JKM itu adalah berasaskan tanggungjawab moral dan undang-undang (morale and legal responsibility) pihak jabatan itu untuk berbuat demikian.

“Ia mungkin susulan JKM melihat adalah perlu bagi pihaknya mengambil anak kedua pasangan berkenaan susulan mereka telah dituduh mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily menegaskan bahawa siasatan membabitkan kes Zayn Rayyan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sudah selesai namun tidak menolak meneruskan siasatan mengikut seksyen itu sekiranya ada keperluan untuk perbicaraan.

Show More

Related Articles

Back to top button