Berita Semasa

760 petugas pilihan raya ‘berkampung’ di KKB esok

KUALA LUMPUR – Seramai 760 petugas akan bertugas pada di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB), esok.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, proses pengundian akan melibatkan 18 pusat mengundi dengan 74 saluran dibuka untuk menerima kehadiran 39,269 pemilih berdaftar.

“SPR telah menjalankan proses semakan peralatan mengundi seperti peti undi, kertas undi, petak undi, dakwat pilihan raya dan sebagainya bagi kegunaan hari mengundi pada 11 Mei 2024 (Sabtu).

“Proses semakan ini untuk memastikan kesemua peralatan atau kelengkapan bagi hari mengundi lengkap dan dalam keadaan baik.

“Kesemua peralatan ini diagihkan kepada ketua-ketua tempat mengundi (KTM) bagi setiap tempat mengundi (saluran),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu Ikmalrudin mengingatkan majikan supaya memberikan tempoh yang munasabah kepada kakitangan untuk mereka keluar menunaikan tanggungjawab membuang undi.

Perkata itu katanya sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Beliau juga menasihatkan pengundi supaya tidak keluar pada saat-saat akhir dan mengikut masa keluar yang dicadang seperti tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

“Pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 8 pagi hingga 6 petang atau mengikut waktu pusat mengundi diwartakan.

“Pengundi juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada kerani pengundian pertama (KP1) di saluran bagi memudahkan semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian,” katanya.

Ikmalrudin berkata, semakan awal maklumat pengundian seperti maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan boleh dibuat melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7218 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button