Berita SemasaPM X

Pelaburan besar masuk ke negara bukti keyakinan dunia pada Malaysia – PM

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pelaburan besar yang berjaya dibawa masuk merupakan keyakinan tinggi dunia terhadap Malaysia.

Beliau berkata, pelaburan itu juga akan membantu meningkat tahap kesejahteraan rakyat terbanyak.

“Pelaburan-pelaburan yang besar daripada mana-mana syarikat atau konglomerat ternyata mencerminkan keyakinan dunia kepada ikhtiar dan jalur pengemudian Malaysia.

“Pelaburan daripada gergasi teknologi Microsoft, seperti syarikat atau konglomerat yang lain, akan membawa dampak yang tidak kecil kepada Malaysia, dan tentunya akan membantu meningkat tahap kesejahteraan rakyat terbanyak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Anwar menghadiri majlis pertemuan bulanan bersama warga Kementerian Kewangan di sini.

Dalam pada itu Anwar berkata, usaha untuk memulihkan negara ini memerlukan dukungan semua pihak dan ia bukan kerja mudah.

Beliau berkata, paling penting prestasi kerja dan disiplin perlu berpangkal pada prisip tatakelola yang baik dan sikap pertanggungjawaban.

“Saya turut selitkan agar keikhlasan dalam berkhidmat mesti diperteguh selain memperkuat sikap kita untuk hidup dengan aman damai dalam suasana Malaysia yang majmuk dan terangkum.

“Sudah tentu adanya perbedaan pendapat dan kepercayaan di antara masyarakat yang rencam, apatah sesama Islam juga wujud pertentangan pandangan dan idea tetapi budaya tersebut mesti dalam suasana adab dan kritis.

“Justeru, prinsip manusiawi yang dianjurkan oleh Islam dan juga kepercayaan-kepercayaan lain membolehkan kita menerima perbezaan kefahaman antara satu sama lain.

“Oleh yang demikian, sikap ini perlu dipertingkat dan dipelihara agar Malaysia kekal menjadi destinasi pelaburan di rantau ini, lebih-lebih lagi dalam keadaan global yang semakin kompleks dan mencabar,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button