Berita Semasa

Kemas terima pengiktirafan Reader’s Digest buat kali kelima

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) menerima pengiktirafan sebagai jenama yang dipercayai oleh Reader’s Digest
bagi kategori Pusat Pembelajaran Prasekolah Pilihan Pengguna di Malaysia buat kali kelima.

Kemas dalam satu kenyataan hari ini berkata, penganugerahan kali kelima ini membuktikan komitmen yang tinggi serta berterusan oleh Kemas dalam menyediakan perkhidmatan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti kepada rakyat Malaysia khususnya kepada masyarakat luar bandar.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Hajah Rubiah Wang hadir untuk menerima anugerah tersebut sempena Trusted Brands 26th Anniversary Event yang diadakan di Grand Hyatt Hotel Kuala Lumpur.

Turut hadir, Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi Ketua Pengarah Kemas; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kemas, Zairuddin Mat Zuini Timbalan serta Pengarah-pengarah Bahagian Kemas Negeri.

Selain itu, pelaksanaan Program TABIKA Pra Tahfiz Kemas turut menyumbang kepada kepercayaan ibu bapa dan masyarakat terutamanya dalam undian yang dilaksanakan oleh pihak Reader’s Digest mengenai pandangan pengundi terhadap sistem pendidikan pra sekolah di Malaysia.

Program hasil inisiatif Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, menerapkan supaya pendidikan al-Quran dijadikan teras utama dalam kemenjadian kanak-kanak beragama Islam selain kemahiran sedia ada yang diperlukan sebagai persediaan ke tahun satu.

“Program ini adalah nilai tambah bagi Modul Program Penghayatan Pendidikan Islam (PPI) yang dilaksanakan sejak 2017 dengan memberi penekanan dan tumpuan khusus terhadap dua aspek iaitu pembelajaran ibadah dan pengajian al-Quran,” ujar Kemas.

Untuk rekod, seramai 140,000 kanak-kanak TABIKA Kemas disasarkan menjadi Huffaz Cilik menjelang 2026 melalui program ini yang dilaksanakan secara rintis di 100 buah TABIKA terpilih pada Julai 2023 dengan sasaran 1,500 kanak-kanak.

Sementara itu, Kemas juga mensasarkan 4,145 lagi kelas TABIKA Pra Tahfiz KEMAS melaksanakan program ini melibatkan 62,175 kanak-kanak dengan sasaran 60 peratus kanak-kanak dapat menguasai 20 surah termasuk surah Juz Amma dan surah pilihan pada tahun ini.

Show More

Related Articles

Back to top button