DUN Terengganu tolak Akta Laut Wilayah 2012
KUALA LUMPUR – Terengganu menolak Akta Laut Wilayah 2012 yang menghadkan sempadan bagi negeri untuk menerokai sumber sejauh tiga batu nautika atau 5.5 kilometer sahaja dari kawasan pantai.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan sebulat suara itu dicapai dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-15 hari ini.
Katanya, DUN Terengganu meluluskan usul menolak Akta Laut Wilayah 2012 kerana dilihat tidak menepati syarat seperti mana yang ditetapkan di dalam Perkara 2 (b) dan Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan.
“Perkara 2 (b) menyatakan bahawa undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu Negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Negeri itu (yang dinyatakan melalui undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan Negeri itu) dan Majlis Raja-Raja.
“Sementara itu, Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru itu, katanya, tindakan Kerajaan Persekutuan menyatakan negeri hanya berhak terhadap tiga batu nautika sebenarnya telah merampas hak kedaulatan negeri terutamanya yang berkait hasil mahsulnya.
“Kerajaan Negeri merumuskan, penggubalan Akta ini adalah tidak mengikut perlembagaan dan telah memberikan beberapa implikasi negatif seperti menafikan hak negeri untuk meneroka sumber dan menikmati hasil di dalam kawasan wilayah negeri tersebut serta menyebabkan berlaku percanggahan dan konflik dengan akta-akta lain,” ujarnya lagi.
Tambah Ahmad Samsuri, Terengganu juga melihat, Kerajaan Persekutuan pada hari ini telah memperalatkan Akta Laut Wilayah 2012 untuk menafikan pembayaran royalti petroleum kepada Terengganu.