
Fadillah seru umat Islam tidak jadikan Ramadan ‘bulan pembaziran’
KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menyeru umat Islam supaya tidak menjadikan bulan Ramadan sebagai ‘bulan pembaziran’.
Seruan yang disuarakan dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya hari ini turut menambah, pembaziran bukan sahaja dilarang dalam Islam, tetapi turut bertentangan dengan prinsip kelestarian alam.
“Marilah kita saling mengingatkan antara satu sama lain agar mengurangkan budaya pembaziran yang berlebihan sepanjang bulan puasa ini,” katanya.
Beliau turut mengajak umat Islam untuk menggandakan ibadah bagi meningkatkan lagi ketakwaan kepada Allah SWT serta kecintaan sesama manusia.
“Sambutlah Ramadan ini sebagai peluang terbaik untuk terus bermuhasabah dan memperbaiki diri.
“Mudah-mudahan setiap amalan kita akan diterima oleh Allah SWT dengan rahmat, kasih sayang, pengampunan dan keberkatan daripada-Nya. Jangan lupa untuk titipkan juga doa buat saudara-saudara kita di bumi Gaza dan semoga Allah mengangkat doa-doa kita untuk pembebasan rakyat Palestin kelak,” katanya.
Sempena bermulanya puasa Ramadan esok, Fadillah turut mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa kepada semua umat Islam.
“Ramadan Al-Mubarak bulan yang sangat dinanti-nantikan oleh umat Islam, bulan terbaik untuk kita terus meningkatkan amal ibadah dan memperbanyakkan sedekah serta amalan kebajikan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













