Berita Semasa

5,983 PATI daftar Program Repatriasi Migran – Saifuddin

PUTRAJAYA – Seramai 5,983 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) telah mendaftarkan diri dalam Program Repatriasi Migran yang telah bermula 1 Mac lalu, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut Saifuddin, daripada jumlah tersebut, seramai 1,864 orang telah pulang ke negara asal masing-masing secara sukarela, sekali gus mengurangkan jumlah golongan berkenaan di Malaysia.

Jelasnya, Indonesia mencatatkan jumlah bilangan PATI yang paling ramai mendaftar iaitu 3,115 orang diikuti Bangladesh (846),
India (700), Pakistan (610), Sri Lanka (279) dan Nepal (196).

“Baki 237 PATI masing-masing dari Myanmar, Filipina, Yaman, Syria, Mesir, Nigeria, Thailand, Vietnam dan China,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, program tersebut telah berjaya mengutip hampir RM2.9 juta melalui penawaran kompaun dan bayaran Pas Khas yang merupakan elemen utama bagi program tersebut.

Selain itu, Saifuddin berkata, bagi isu permohonan eVISA pekerja asing warganegara Bangladesh, kerajaan telah memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan Agensi Pengendali Permohonan Visa Malaysia.

Selaras keputusan tersebut, katanya, kerajaan telah memberikan id aktif dan manual pengguna kepada majikan yang berkait dengan penggajian pekerja asing warganegara Bangladesh dan mereka boleh membuat permohonan eVISA secara terus kepada sistem MYVISA.

Tegasnya, majikan bertanggungjawab untuk menyegerakan proses kemasukan pekerja asing berdasarkan kuota yang telah diluluskan berdasarkan proses-proses yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Jelas beliau, keputusan kerajaan untuk membatalkan kuota aktif sektor formal juga akan dibuat dengan pulangan levi segera dan pengurusan yang telah ditambahbaik.

“Penambahbaikan dasar dan mekanisme pemulangan levi yang lebih mesra majikan dan industri dapat memastikan proses pulangan levi kepada majikan berjalan lancar.

“Justeru, kesemua majikan diharap dapat mempercepat kemasukan pekerja asing tanpa mengabaikan peraturan dan undang-undang berkuatkuasa,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button