PM sampaikan watikah pelantikan Ketua Pengakap Negara kepada Mohd. Zin
PUTRAJAYA – Mejar Jeneral Prof. Datuk Dr. Mohd. Zin Bidin hari ini dilantik sebagai Ketua Pengakap Negara yang ke-7.
Majlis penyampaian watikah pelantikan beliau telah disempurnakan dengan penuh istiadat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini.
Pelantikan beliau sebelum ini diperkenan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa 15 Disember 2023.
“Selaku Presiden Agung Persekutuan Pengakap Malaysia, saya titipkan pesan buat Mohd Zin untuk menampilkan kepimpinan penuh teladan dan mengangkat tatakelola hatta integriti sepanjang menggalas amanah ini,” kata Anwar dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, sebentar tadi.
Sementara itu, Mohd. Zin turut berkata, amanah yang diberikan kepadanya itu akan digalas sebaik-baiknya terutamanya dalam melonjakkan lagi pencapaian PPM di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Saya akan menggalas amanah ini dengan penuh komitmen dan integriti terutama dalam mempersiapkan golongan muda-remaja untuk mendepani cabaran era baharu.
“Adalah menjadi harapan saya supaya seluruh warga PPM dapat bergerak sederap dalam memperkukuhkan peranan pengakap untuk menerapkan nilai integriti, disiplin, kepimpinan dan daya saing bagi melahirkan pemimpin masa depan negara,” katanya dalam satu kenyataan berasingan, hari ini.
Mohd. Zin sebelum ini memangku tugas Ketua Pengakap Negara bagi menggantikan Allahyarham Tan Sri Shafie Mohd Salleh yang meninggal dunia pada 11 September 2019.