Ibu Faizal Tahir meninggal dunia
KUALA LUMPUR – Ibu kepada penyanyi dan komposer terkenal, Faizal Tahir dan penyampai radio Zayan FM, Anas Tahir, Muzlipah Aishah Pawanteh, 71, meninggal dunia di Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Puncak Alam, Selangor kira-kira jam 8.54 pagi tadi.
Khabar duka itu dikongsi Faizal di Instagram yang memohon supaya semua pihak dapat mendoakan roh arwah ibunya.
“Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.
“Rehatlah dan tenanglah di negeri abadi mama, cinta hati pertama saya. Mama dah buat yang terbaik untuk kami semua.
“Anak-anak masih ada urusan di dunia. Kami menyusul kemudian. Insya-Allah.
“Kepada yang mengenali ibu saya, Muzlipah Aishah Pawanteh, mohon dihalalkan segala makan minum dan diampunkan segala kekurangan dan salah silap selama dalam kenalan.
“Terima kasih. Jazaakumullaahu khayr. Allahummaghfirlaha warhamhaa wa’aafihaa wa’fu ‘anhaa,” tulisnya.
Perkongsian penyanyi lagu Sampai Syurga itu mendapat perhatian pengikut dan rakan selebriti apabila turut mengucapkan takziah dan mendoakan Faizal dan ahli keluarga tabah menghadapi ujian itu.
Difahamkan jenazah arwah akan dibawa ke Masjid Puncak Alam untuk disolatkan dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Puncak Alam selepas solat Zuhur.
Allahyarham Muzlipah meninggalkan tujuh anak dan 21 cucu.
Sementara itu memetik laporan BH Online, Anas berkata ibunya menghembuskan nafas terakhirnya di sisi anak-anak selepas berada dalam keadaan nazak sejak Jumaat lalu.
“Kalau ikutkan emak sudah nazak sejak Jumaat lalu. Walaupun dalam keadaan nazak, emak masih cuba untuk kuatkan diri.
“Pada awal pagi Sabtu, sekitar jam 3 pagi keadaan kesihatan emak semakin merosot. Arwah menghembuskan nafas terakhir di sisi anak-anak kira-kira jam 8.54 pagi ini.
“Alhamdulillah, semua anak-anak sempat menjaga sejak arwah dirawat di hospital,” katanya kepada BH Online.