PM X

PADU mampu elak ketirisan pemberian bantuan, subsidi – PM

PUTRAJAYA – Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini, mampu mengelakkan ketirisan dalam pemberian bantuan dan subsidi.

Menurut Anwar, peluncuran PADU adalah selari dengan dasar kerajaan ke arah
transformasi digital negara dengan penyasaran semula subsidi dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dengan adanya PADU, ia akan menjamin bantuan dan subsidi dapat disalurkan kepada mereka yang benar-benar layak dan berhak menerimanya.

“Subsidi yang diberikan kerajaan mencecah RM80 bilion. Dalam semua kajian, (subsidi) tidak sampai sepenuhnya kepada kumpulan sasaran.

“Sistem PADU adalah selaras dengan pendekatan transformasi digital dan menjamin manfaat kemudahan dinikmati orang berhak dan tentunya dengan cara itu (dapat) kurangkan kos dan ketirisan,” katanya dalam ucapan beliau sebelum melancarkan PADU di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, adalah penting untuk melakukan penyasaran semula subsidi kerana subsidi yang mencecah RM80 bilion dinikmati golongan kaya dan bukan warganegara pada ketika ini.

Sebagai rekod, PADU merupakan sistem yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia dan telah dibuka secara rasmi kepada seluruh rakyat Malaysia hari ini.

Selain itu, PADU dibangunkan sepenuhnya penjawat awam dari tiga agensi utama yang terdiri daripada Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) yang melibatkan kerjasama semua agensi lain.

Malah, PADU dibangunkan dengan menggunakan peruntukan sedia ada dan segala infrastruktur yang telah ada tanpa perlu membuka tender baru kepada pihak swasta.

Show More

Related Articles

Back to top button