
Kisah Ashabul Kahfi: YADIM pandang serius video ceramah seorang pendakwah sesatkan PM
PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) memandang serius kenyataan seorang pendakwah yang menyesatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila merujuk kepada pemuda gua, Ashabul Kahfi
sebagai beragama Kristian.
Menurut YADIM dalam satu kenyataan, sikap terus menghentam dan menyesatkan mereka yang berbeza pendapat dan pandangan dalam isu-isu khilafiah agama adalah tidak wajar.
Katanya, sikap tersebut akan membantutkan perkembangan ilmu dan daya penyelidikan serta lebih membimbangkan ia akan menyebabkan pergaduhan dan tuduh menuduh sesama umat Islam yang tidak berkesudahan.
“Pemuda-pemuda Kahfi ini adalah sekumpulan pemuda yang mempertahankan aqidah suci berhadapan dengan pemerintah yang zalim dan memaksa mereka menganut fahaman syirik. Walaupun mereka akan dikenakan tindakan yang keras daripada pemerintah, mereka berani berhadapan kerana keteguhan prinsip mereka.
“Al-Quran menceritakan tentang Ashabul Kahfi dalam surah Al-Kahfi ayat ke-13 sebagai, ‘Bahawasanya pemuda-pemuda itu adalah mereka yang beriman sempurna dengan Tuhan mereka’. Kedudukan kumpulan pemuda yang melakar sejarah hebat manusia ini mendapat pelbagai tafsiran dan pandangan daripada kalangan ahli-ahli tafsir Al-Quran,” katanya dalam satu kenyataan.
Ujar YADIM, menurut pandangan Wahb bin Munabbih, mereka ialah sekumpulan pemuda dari Rom yang masuk ke gua sebelum kelahiran Nabi Isa al-Masih.
“Setelah al-Masih dibangkitkan, baginda menyebut kisah mereka. Kemudian Allah membangunkan pemuda-pemuda itu dari tidur panjang mereka. Waktu mereka dibangunkan adalah di antara zaman al-Masih dan Nabi Muhammad SAW.
“Menurut Ibnu Kathir dalam Al-Bidayah Wa An-Nihayah pula menukilkan pandangan sebahagian ahli tafsir bahawa tujuh pemuda tersebut wujud selepas kedatangan Nabi Isa dan mereka beriman kepada Allah SWT melalui ajaran Nabi Isa dan dipanggil sebagai Nasara/Nasrani (Kristian).
“Selain itu, Ibn ‘Ashur dalam tafsirnya juga menyebut kecenderungannya bahawa peristiwa itu berlaku sebelum ajaran al-Masih ‘Isa kerana mengambil kira kepada hujah Sababun Nuzul ayat ini. Ibn ‘Ashur juga menyebut bahawa gua-gua memang
menjadi pilihan sebagai tempat perlindungan golongan Kristian yang ditindas suatu masa dahulu dan mereka turut membawa anjing untuk tujuan keselamatan,” katanya.
Dalam pada itu, YADIM percaya Ashabul Kahfi yang dirujuk oleh Perdana Menteri bukanlah agama Kristian dewasa ini sebaliknya merujuk kepada golongan Nasara yang mentauhidkan Allah SWT sebagaimana ajaran Nabi Isa AS dan selari dengan risalah Nabi Muhammad SAW.
Sementara itu YADIM juga melahirkan kebimbangan dengan kecenderungan segelintir pihak yang merendah-rendah atau menyesatkan golongan yang berbeza pandangan.
“YADIM amat bimbang kecenderungan agresif, fanatik dan melampau segolongan asatizah ketika mengulas sesuatu isu hanya akan memecah belah umat Islam dan mencetuskan fenomena takfiri sesama umat Islam.
“Ini amat berbeza dengan gesaan yang disampaikan oleh Perdana
Menteri dalam perhimpunan bulanan peringkat Jabatan Perdana (JPM) pada 11 Disember 2023 yang lalu, supaya penjawat awam mengambil pengajaran
dan mengikuti sikap Ashabul Kahfi.
“Mereka mempunyai prinsip yang kental, dengan keyakinan yang ada dalam jiwa mereka, Allah SWT akan menambah petunjuk untuk mereka. Ini kerana mereka memilih untuk tidak terpukau dengan kuasa, kezaliman dan penindasan dan sebaliknya memohon perlindungan daripada Allah SWT. Lalu
Allah SWT selamatkan mereka,” katanya.
Pada masa sama, YADIM menyeru semua pihak agar mengelak daripada mempolitikkan semua perkara khasnya dalam perkara bersangkut agama Islam.
“YADIM juga menyeru agar para pendakwah dan asatizah tidak mudah untuk menggunakan dan mengeluarkan sesuatu gelaran sesat, munafik, kafir dan sebagainya apabila merujuk kepada seseorang figura yang tidak sependapat atau sehaluan dalam politik atau perkara-perkara khilaf dalam agama,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








