BERITA SEMASA

Hentikan polemik isu kisah Ashabul Kahfi – Mufti Pulau Pinang

GEORGETOWN – Semua pihak diseru untuk tidak memperbesarkan Isu kisah Ashabul Kahfi sehingga menjadi polemik membingitkan.

Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata bagi individu yang tidak atau kurang mendalami ilmu perbandingan agama dan sejarah Nabi, sudah tentu sukar bagi mereka memahami isu ini secara jelas.

Beliau berkata, sebenarnya ia berkait dengan akidah Tauhid yang diyakini tujuh pemuda ketika berlindung di dalam sebuah gua demi bagi memelihara dan mempertahankan keyakinan itu.

“Punca kekeliruan berkaitan isu ini adalah kerana istilah ‘Kristian’ yang diguna oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan beliau apabila merujuk kepada Ashabul Kahfi.

“Berikutan istilah Kristian itu, maka seluruh Malaysia menjadi riuh rendah dengan pelbagai pihak memberi pandangan dan komen yang bercampur baur antara input akademik dan tujuan politik,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Wan Salim berkata, perlu dijelaskan bahawa kawasan Timur Tengah pada masa itu berada di bawah pemerintahan Rom Timur yang juga dikenali sebagai Empayar Byzantium, sedangkan agama empayar itu adalah paganime.

Katanya, ulamak tafsir dan ahli sejarah berbeza pandangan tentang zaman kejadian ini dan ramai yang berpendapat ia berlaku sebelum kelahiran Nabi Isa AS dan ada yang berpendapat ia berlaku selepas kelahiran baginda.

“Susulan perbezaan pandangan ini maka berbezalah pula tentang agama mereka dan jika peristiwa itu berlaku sebelum kelahiran Nabi Isa AS, maka sudah tentu mereka bukan beragama Kristian.

“Begitu sebaliknya jika peristiwa itu berlaku setelah Nabi Isa AS lahir, maka logiknya mereka beragama Kristian iaitu agama yang dijenamakan sempena nama Jesus Christ menurut sebutan orang Barat,” katanya lagi.

Menurut Wan Salim, perlu diketahui bahawa daripada perspektif Islam, sekalian Rasul Allah adalah menyeru kepada agama sama iaitu Islam dalam pengertiannya yang umum – menyerah kepada kehendak Allah SWT berpaksikan kepada akidah Tauhid (kepercayaan kepada Tuhan Yang Maha Esa).

Namun di dalam perjalanan sejarah yang lama, maka berlakulah penyelewengan terhadap ajaran Tauhid yang dibawa oleh Nabi Allah itu.

Terdahulu tular di media sosial seorang penceramah terkenal dari Terengganu mengupas ucapan Anwar berkaitan tujuh pemuda Ashabul Kahfi ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) minggu lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button