Kestabilan politik tarik pelaburan Google ke Malaysia – Anwar
MELAKA – Kestabilan politik dan dasar ekonomi yang jelas menjadi antara faktor utama Google memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Google, Ruth Porat ketika beliau meminta pandangan jujur syarikat teknologi gergasi itu mengenai faktor pemilihan Malaysia.
Menurut Anwar, Ruth menjelaskan Malaysia kini mempunyai landskap politik lebih stabil berbanding sebelum ini, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur antarabangsa.
“Beliau berkata mereka memilih Malaysia kerana politik negara ini stabil dan tidak berada dalam keadaan kacau-bilau. Ada rungutan di sana sini, tetapi politik kita stabil.
“Tiada rusuhan dan kerajaan tidak lagi bertukar seperti dahulu, apabila dalam tempoh tiga atau empat tahun kita mempunyai tiga atau empat Perdana Menteri,” katanya berucap pada Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, hari ini.
Anwar berkata, kestabilan politik turut membolehkan kerajaan menetapkan dasar ekonomi yang jelas dan konsisten, sekali gus memudahkan pelabur membuat keputusan untuk menanam modal di negara ini.
“Apabila politik stabil dan terdapat kejelasan dalam dasar ekonomi, pelabur tahu hala tuju negara. Pelabur dalam bidang kecerdasan buatan (AI), misalnya, mengetahui dasar kita termasuk Pelan Induk Perindustrian,” katanya.
Google sebelum itu mengumumkan komitmen pelaburan berjumlah RM61 bilion di Malaysia, sekali gus mencerminkan keyakinan syarikat teknologi itu terhadap prospek ekonomi negara.
Untuk rekod, Malaysia menyaksikan tiga pertukaran Perdana Menteri antara Mei 2018 hingga November 2022 sebelum Anwar memegang jawatan itu selepas Pilihan Raya Umum ke-15.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














