Penthouse hotel jadi lokasi mini kasino, 16 warga asing ditahan
KUALA LUMPUR – Sebuah penthouse di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, dipercayai dijadikan lokasi perjudian mini kasino secara tertutup sebelum diserbu polis menerusi Op Tembok, awal pagi semalam.
Serbuan kira-kira pukul 1.50 pagi itu membawa kepada penahanan 16 warga asing berusia antara 26 hingga 50 tahun.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 14 lelaki dan seorang wanita warga China serta seorang lelaki warga Nepal.
Menurutnya, siasatan awal mendapati premis berkenaan digunakan untuk menjalankan kegiatan perjudian poker yang berkonsepkan mini kasino.
Beliau berkata, kegiatan itu dipercayai beroperasi menerusi jemputan dalam kalangan kenalan rapat dan hanya membabitkan warga China.
“Polis turut merampas sebuah meja, tujuh kerusi, sekeping kad akses, dua set dadu dan sekeping kad dealer.
“Turut dirampas ialah 214 cip pelbagai warna bernilai keseluruhan RM5,180, 52 keping daun terup serta wang tunai berjumlah RM1,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadil berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, semua suspek akan dibawa ke hadapan Majistret hari ini bagi permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk membantu siasatan.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya menjauhi sebarang bentuk kegiatan perjudian yang melanggar undang-undang.
“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi mengekang sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan perjudian atau kesalahan jenayah boleh menyalurkannya kepada polis menerusi Hotline Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu membanteras kegiatan berkenaan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



