BERITA SEMASA

KLNET Akademi perkasa TVET, buka peluang kerjaya dan keusahawanan

KUALA LUMPUR – KLNET Akademi menerusi inisiatif Gerakan Memperkasa Skill & Industri TVET Negara (GEMERSIT BUMI) berusaha membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan berasaskan kemahiran, termasuk dalam industri emas dan perhiasan diri, khususnya kepada golongan belia serta komuniti sasaran.

Usaha itu digerakkan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dan Letter of Understanding (LoU) antara KLNET Akademi di bawah naungan KESO Legacy Network, Pertubuhan Gandingan Gerak Pengguna Malaysia (PGGPM) serta rakan strategik daripada pelbagai sektor di Hotel Tamu, Kampung Baru, di sini, baru-baru ini.

Kerjasama berkenaan bertujuan memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara melalui penyelarasan usaha kerajaan, industri, institusi latihan dan masyarakat dalam memperluas akses kepada latihan kemahiran, pembangunan kompetensi serta peluang pekerjaan.

GEMERSIT BUMI yang membawa aspirasi memperkasa kemahiran dan industri TVET Bumiputera turut memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, selain memperluas peluang ekonomi kepada belia, pelajar sekolah menengah yang cenderung dalam bidang kemahiran, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), komuniti setempat, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.

Pendekatan itu meletakkan TVET bukan sekadar laluan alternatif kepada pendidikan akademik, sebaliknya sebagai landasan penting untuk melahirkan tenaga kerja kompeten, usahawan berkemahiran dan tenaga profesional yang mampu memenuhi keperluan industri semasa serta masa hadapan.

Menerusi kerjasama berkenaan, beberapa bidang utama akan diberi perhatian termasuk pembangunan latihan kemahiran, pelatihan, penempatan dan pendapatan (3P), keusahawanan berasaskan kemahiran serta pengiktirafan kompetensi melalui pihak berkuasa dan badan berkaitan, tertakluk kepada syarat serta kelulusan ditetapkan.

Inisiatif itu turut memberi penekanan kepada usaha merapatkan jurang antara latihan dengan keperluan sebenar industri bagi memastikan peserta bukan sahaja memperoleh kemahiran praktikal, malah berpeluang membina kerjaya, meneroka pekerjaan kendiri dan menceburi bidang keusahawanan.

Antara sektor berpotensi diteroka termasuk kecantikan dan kesejahteraan, penjagaan diri, hospitaliti, kulinari, makanan dan minuman (F&B), pelancongan, perkhidmatan komuniti serta teknologi digital.

klnet
Majlis pemeteraian MoU dan LoU GEMERSIT BUMI menjadi platform memperluas kerjasama antara industri, institusi latihan dan masyarakat dalam membuka peluang pekerjaan serta keusahawanan berasaskan kemahiran.

Selain itu, penglibatan KESO Legacy Network dan KLNET Akademi membuka ruang untuk menghubungkan kepakaran industri emas dengan sistem latihan dan pembangunan kompetensi TVET.

KESO yang memberikan tumpuan perniagaan kepada industri emas berpotensi menjadi rakan industri dalam menyediakan pendedahan kepada operasi perniagaan, amalan profesional, keperluan pasaran dan peluang kerjaya dalam sektor emas serta perhiasan diri.

Kerjasama itu boleh merangkumi pembangunan modul latihan berasaskan keperluan industri, perkongsian tenaga pakar, pendedahan praktikal, latihan industri dan penerokaan laluan keusahawanan, tertakluk kepada persetujuan pihak berkaitan serta keperluan kawal selia.

Antara kemahiran yang ingin diperkasakan termasuk pembuatan, reka bentuk, pengendalian dan penilaian barang kemas, selain penggunaan teknologi digital dalam pemasaran, pengurusan perniagaan, rekod inventori dan perkhidmatan pelanggan.

Pada masa sama, GEMERSIT BUMI turut menekankan kepentingan literasi pengguna berkaitan ketulenan emas, pemahaman urus niaga, ketelusan maklumat produk serta kesedaran mengenai hak pengguna, selaras dengan peranan PGGPM dalam memperkukuh kesedaran dan perlindungan pengguna.

KLNET Akademi di bawah naungan KESO Legacy Network dan PGGPM berharap pemeteraian persefahaman itu menjadi asas kepada kerjasama jangka panjang yang berorientasikan hasil, berdaya laksana serta memberi manfaat kepada peserta, komuniti, industri dan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button