DALAM NEGERI

Kes Kematian Noorizwan: KDN tidak kompromi jika berlaku pelanggaran – Saifuddin

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang, termasuk jika ia membabitkan anggota penguat kuasa, kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Penegasan itu dibuat susulan siasatan kematian Allahyarham Noorizwan Zulkefly ketika dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras yang kini diambil alih Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, polis turut mengenal pasti peruntukan seksyen di bawah Kanun Keseksaan yang akan menjadi asas dan hala tuju siasatan kes berkenaan.

“Tiada sebarang usaha atau tindakan percubaan untuk menutup kes ini selepas kita mengambil alih,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 bagi KDN, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Pagi tadi, keluarga Allahyarham bersama peguam dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) berarak dari Tugu Negara ke bangunan Parlimen bagi menyerahkan Memorandum Seruan Untuk Tindakan Parlimen Berhubung Mangsa Kematian Dalam Tahanan Polis Noorizwan dan Penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Noorizwan ditahan di IPD Cheras berhubung kes yang disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Pada 30 September lalu, beliau dirujuk ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras, untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 1.52 pagi, 1 Oktober lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button