Dakwaan 21 syarikat Malaysia terlibat kebakaran hutan Indonesia tidak benar – Noraini
MELAKA – Dakwaan bahawa 21 syarikat yang mempunyai kaitan dengan kumpulan perniagaan Malaysia terlibat dalam kebakaran hutan dan tanah di Indonesia adalah tidak benar berdasarkan pemantauan setakat ini.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pemantauan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mendapati kebakaran yang dikesan tidak bermula di ladang milik syarikat Malaysia, sebaliknya merebak dari kawasan lain.
Memetik laporan MalaysiaGazette, Noraini berkata, syarikat perladangan di Malaysia tertakluk kepada piawaian kelestarian yang melarang pembakaran terbuka, termasuk menerusi pensijilan Meja Bulat Minyak Sawit Mampan (RSPO) dan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
“Berdasarkan laporan yang kita terima, tidak ada (pembakaran terbuka). Kita mempunyai pemantauan dan syarikat juga tertakluk kepada RSPO.
“Kita perlu melihat syarikat mana yang dikatakan melakukan pembakaran itu kerana melalui pemantauan MPOB, setakat ini kebakaran tidak bermula di ladang berkenaan, sebaliknya dari kawasan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis perasmian Program Jelita (Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement) Latihan Pecutan Intensif 12 Jam yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal, hari ini.
Turut hadir, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Naib Canselor UTeM, Datuk Dr Massila Kamalrudin.
Mengulas lanjut, Noraini berkata, MPOB akan meneruskan pemantauan bagi memastikan syarikat perladangan mematuhi piawaian ditetapkan, termasuk larangan pembakaran terbuka.
Sebelum ini, sebuah NGO alam sekitar Indonesia telah mendakwa 21 syarikat yang mempunyai kaitan dengan kumpulan perniagaan Malaysia terlibat dalam kes kebakaran hutan dan tanah di negara itu bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.
Isu kebakaran hutan dan tanah di Indonesia mendapat perhatian terutamanya dalam kalangan penduduk di Asia Tenggara kerana asap daripada kebakaran berkenaan telah merentasi sempadan dan menjejaskan kualiti udara negara-negara serantau, termasuk Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








